WASPADA:
Orang ramai terutamanya para pelabur dinasihatkan supaya berwaspada dengan peningkatan penggunaan blog, forum dan platform media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu dan mengelirukan mengenai syarikat-syarikat tertentu untuk melaksanakan skim ‘pump and dump’.
Menurut Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), dalang skim tersebut akan memperoleh dan mengumpul saham pada harga yang lebih rendah sebelum menyebarkan sentimen positif mengenai syarikat-syarikat tersebut, dengan hasrat untuk menarik minat terhadap saham tersebut untuk menaikkan harganya. Apabila pelabur yang tidak curiga membeli saham itu, ia memberi peluang kepada dalang tersebut menjual saham mereka dengan meraih keuntungan. Para pelabur yang telah membeli saham pada harga yang melambung akan mengalami kerugian apabila gembar gembur tersebut reda.
SC menasihatkan para pelabur agar sentiasa berwaspada dan mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat keputusan pelaburan. Pelabur diingatkan supaya berhati-hati terhadap risiko penipuan dan sekiranya curiga, dapatkan nasihat daripada individu yang telah dilesenkan oleh SC.
SUMBER:
Laman Rasmi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia