SEBENARNYA:
Pihak polis menafikan dakwaan mengenai enam penduduk di Butterworth yang dikatakan pernah menyertai ijtimak tabligh di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur.
Dakwaan berkenaan tular menerusi hantaran di laman Facebook Komuniti Kepala Batas, yang menggesa peserta terbabit supaya segera tampil memberi penjelasan sama ada sudah melakukan pemeriksaan kesihatan atau tidak selepas menyertai perhimpunan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor, Polis dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah maklum mengenai peserta tabligh berkenaan yang tinggal berhampiran kelab golf (Penang Golf Resort) di Kepala Batas.
Katanya, peserta terbabit didapati tidak pernah menyertai ijtimak di Masjid Seri Petaling seperti yang ditularkan tetapi telah menghadiri satu perhimpunan tabligh di Kota Marudu, Sabah.
Jelas beliau, “Kesemuanya sudah menjalani ujian saringan kesihatan Covid-19 sebanyak dua kali dan didapati negatif.
“Ujian pertama dilakukan di Hospital Kota Marudu pada 11 Mac lalu dan ujian kedua pada 17 Mac di Hospital Seberang Jaya.”