SEBENARNYA:
Menurut kenyataan media Pengarah Kesihatan Negeri Sabah:
Pihak jabatan ingin memberikan maklum balas kepada isu yang ditularkan dalam WhatsApp berkenaan seorang remaja yang meninggal dunia akibat dos penggalak vaksin COVID-19.
Untuk makluman, jabatan ini telah membuat siasatan dengan segera dan mendapati isu yang diviralkan adalah palsu. Pesakit telah meninggal dunia pada 12 Februari 2022. Punca sebenar kematian adalah disebabkan jangkitan paru-paru dan penyakit jantung sejak lahir (congenital heart disease) yang semakin tenat dan bukannya disebabkan dos penggalak vaksin COVID-19 seperti yang didakwa. Keadaan pesakit telah diterangkan kepada ahli keluarga pesakit dan mereka menerima penerangan mengenai punca kematian dengan baik.
Siasatan juga mendapati bahawa pesakit telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 pada 31 Julai 2021 dan dos kedua pada 21 Ogos 2021. Ibu pesakit dan pihak Hospital Tuaran telah mengesahkan pesakit tidak pernah mengambil dos vaksin penggalak.
Sehubungan dengan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh ibu pesakit pada 13 Februari 2022 yang menafikan bahawa kematian anaknya adalah disebabkan oleh dos penggalak vaksin COVID-19, dan beliau juga menafikan bahawa ahli keluarga membuat penularan dalam aplikasi WhatsApp mengenai kematian anaknya disebabkan oleh dos penggalak. Pihak Hospital Tuaran juga telah membuat laporan polis untuk siasatan dan tindakan lanjut mengenai penularan berita palsu dan gambar pesakit di aplikasi WhatsApp oleh individu-individu yang tidak bertanggungjawab.