PENJELASAN:
Kerajaan Negeri Sembilan memperjelaskan dakwaan bahawa pemilik kad Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sepertimana yang tular di media sosial.
Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, Datuk Norhayati Omar berkata, mana-mana pemilik kad OKU masih perlu membuat permohonan di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk menerima bantuan sewajarnya. Menurutnya, setiap pemilik kad OKU seharusnya mengetahui perkara itu bagi mengelakkan kekeliruan.
Jelasnya, baru-baru ini, seseorang telah memuat naik kenyataan berkaitan adiknya yang juga pemilik kad OKU tidak menerima bantuan.
Norhayati berkata, JKM telah turun padang bertemu ahli keluarga OKU terbabit dan menjelaskan kekeliruan itu serta menerangkan apa tindakan yang perlu dilakukan mereka.
Tambah beliau, “Kami beranggapan kes ini selesai dan sedang menunggu permohonan daripada OKU terbabit untuk diproses”.