PENJELASAN :
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperjelaskan laporan media bahawa kutipan Caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) bakal dilaksanakan bagi kenderaan asing ke negara ini melalui sempadan Malaysia-Thailand sepertimana yang tular di media sosial.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Seri Nadzri Siron, pada masa ini, kajian teknikal oleh Kementerian Pengangkutan tentang VEP di negeri-negeri yang bersempadan dengan negara jiran itu masih dibuat.
“Selepas kajian ini selesai, kita dapat melaksanakan kutipan bayaran VEP, seperti yang sudah dilaksanakan di Johor Bahru. Buat masa ini, kita belum ada jangka masa bagi melaksananya.
“Hasil kutipan VEP yang diperoleh di Johor Bharu diberikan kepada Kerajaan Negeri. Untuk kawasan sempadan Malaysia-Thailand, kita tunggu pengumuman daripada Kementerian Pengangkutan,” katanya.