
Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF):
Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit diesel di Semenanjung Malaysia bagi minggu ini diturunkan 30 sen kepada RM4.37 seliter, berikutan pergerakan purata harga pasaran antarabangsa minggu terdahulu.
Kerajaan memandang positif perkembangan terkini dalam konflik di Asia Barat, khususnya tanda-tanda ke arah penyelesaian yang berkekalan. Perkembangan ini telah menyumbang kepada penyederhanaan harga minyak mentah global berbanding paras tertinggi sebelum ini.
Namun begitu, masih terdapat beberapa risiko jangka pendek yang boleh mengekang penurunan harga minyak mentah dan produk petroleum ke paras prakonflik. Ini termasuk ketidaktentuan berhubung pembukaan semula laluan perdagangan di Selat Hormuz, gangguan bekalan yang dijangka mengambil masa berbulan-bulan untuk pulih sepenuhnya, serta risiko rundingan damai tidak mencapai penyelesaian muktamad.
Dalam keadaan ini, tanggungan subsidi Kerajaan berdasarkan harga pasaran semasa masih diunjurkan tinggi, iaitu sekitar RM3.5 bilion sebulan. Daripada jumlah tersebut, subsidi RON95 diunjurkan sekitar RM2 bilion sebulan, manakala subsidi diesel pula sekitar RM1.5 bilion sebulan.
Kerajaan akan terus memastikan kebajikan rakyat dan kelangsungan operasi sektor tertentu terpelihara melalui bantuan dan subsidi bersasar, di samping mengurus perbelanjaan fiskal secara berhemat dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu.
Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi buat masa ini, Kerajaan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat. Perancangan perjalanan yang lebih cekap serta pengurangan perjalanan tidak perlu dapat membantu memanjangkan bekalan negara dan mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi.
Penetapan harga runcit petrol dan diesel bagi tempoh 18 Jun hingga 24 Jun 2026 adalah seperti berikut:
Harga Runcit

Harga petroleum bersubsidi yang dikekalkan adalah seperti berikut:

Di bawah BUDI MADANI RON95 (BUDI95), Kerajaan terus mengekalkan harga RON95 bersubsidi pada RM1.99 seliter bagi lebih 14 juta penerima yang layak.
Pada harga RON95 tanpa subsidi semasa RM3.72 seliter, penggunaan 200 liter akan menelan kos RM744. Ini bermakna Kerajaan menanggung sehingga RM346 bagi setiap penerima yang menggunakan kelayakan penuh BUDI95. Namun, dengan siling kelayakan bulanan sehingga 200 liter, penerima BUDI95 hanya membayar sehingga RM398 sebulan bagi penggunaan penuh kelayakan tersebut.
Harga diesel tanpa subsidi RM4.37 seliter pula merupakan lebih dua kali ganda harga diesel bersubsidi RM2.15 seliter, bagi mengurangkan impak harga diesel kepada rakyat melalui kos pengangkutan awam dan logistik barangan pengguna.
Bagi mengimbangi kos sara hidup rakyat dan keperluan perbelanjaan fiskal secara berhemat, Kerajaan akan terus mengambil pendekatan berhemah bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga, di samping memastikan bekalan bahan api negara kekal mencukupi dan terjamin.
SUMBER:






