Makluman: KTMB Optimumkan Operasi Aidilfitri Dengan 26 Perjalanan Tren Tambahan

TULAR:
4

Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB):

Sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri 2026, KTMB akan menambah sebanyak 26 perjalanan tren tambahan bagi tempoh 17 Mac hingga 29 Mac 2026 untuk memenuhi. permintaan tinggi orang ramai yang pulang ke kampung halaman.

Daripada jumlah tersebut, 18 perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan 8 perkhidmatan EMUPlus akan beroperasi sebagai langkah proaktif susulan tiket perkhidmatan sedia ada yang hampir habis terjual bagi tempoh berkenaan.

Sepanjang tempoh operasi, tren ETS tambahan dan EMUPlus akan menyediakan 8,118 tempat duduk sehari, termasuk pilihan Kelas Perniagaan, menjadikan jumlah keseluruhan 105,534 tempat duduk bagi menampung lonjakan penumpang menyambut Hari Raya Aidilfitri. Ini menjadikan jumlah keseluruhan tempat duduk yang ditawarkan sepanjang tempoh sambutan Hari Raya Aidilfitri adalah sebanyak 285,714 yang merangkumi 70 perjalanan sehari dengan purata harian 21,978 tempat duduk.

Perkhidmatan tambahan ini melibatkan perjalanan pergi dan balik seperti berikut:

Perkhidmatan ETS:-

  • Lapan (8) perjalanan laluan JB Sentral – KL Sentral – JB Sentral
  • Enam (6) perjalanan laluan Ipoh – KL Sentral – Ipoh
  • Dua (2) perjalanan laluan Butterworth – KL Sentral – Butterworth
  • Dua (2) perjalanan laluan Padang Besar – KL Sentral – Padang Besar

Perkhidmatan EMUPlus:-

  • Lapan (8) perjalanan laluan Ipoh KL Sentral – Ipoh

Sebanyak 10 perjalanan tren ETS tambahan akan mula dijual pada 1 Mac 2026 (Ahad) jam 12.00 tengah hari, manakala baki 16 perjalanan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Jadual operasi 10 tren ETS tambahan untuk pembukaan pada 1 Mac 2026 adalah seperti berikut:

Sektor Selatan

Sector Utara

Perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) edisi Pantai Timur & Utara

Perkhidmatan Ekspres Lambaian Aidilfitri (ELA) edisi Pantai Timur akan beroperasi pada 18 Mac bagi laluan KL Sentral Tumpat dan 22 Mac bagi laluan Tumpat – KL Sentral. Sebanyak 792 tiket ditawarkan termasuk koc tempat tidur bagi perkhidmatan ini.

Perkhidmatan ini menawarkan koc tempat tidur superior dengan 120 katil bagi setiap perjalanan, selain koc tempat duduk Kelas Premier dan Kelas Superior, bagi memberikan pilihan perjalanan yang lebih selesa dan fleksibel kepada penumpang. Tambang sehala ditawarkan bermula serendah RM80.00 bagi Kelas Superior dan tambang bagi tempat tidur Kelas Superior RM90.00 (Katil Atas) dan RM95.00 (Katil Bawah) serta Kelas Premier, RM95.00.

Bagi perkhidmatan ELA edisi Utara, tren khas ini melibatkan laluan KL Sentral Padang Besar KL Sentral. Tren ini akan beroperasi dengan empat (4) perkhidmatan, pada 17 Mac dan 22 Mac bagi laluan KL Sentral Padang Besar serta 18 Mac dan 23 Mac bagi laluan Padang Besar – KL Sentral. Sebanyak 1,200 tiket ditawarkan bagi koc tempat duduk Kelas Superior dengan kadar tambang RM70.00 sehala.

Tiket-tiket bagi perkhidmatan khas ini masih lagi terdapat kekosongan tempat duduk dan kepada para penumpang yang ingin merasai pengalaman untuk pulang ke kampung halaman dengan menaiki tren konvensional, boleh membuat pembelian di aplikasi KITS Style, laman sesawang KTMB atau mesin kios KTMB di stesen terpilih.

Inisiatif ini merupakan komitmen berterusan KTMB dalam memastikan rakyat Malaysia menikmati perjalanan yang selesa, selamat dan efisien pada musim perayaan, sekali gus mengurangkan kesesakan jalan raya dan menyokong mobiliti awam negara.

KTMB menggalakkan orang ramai untuk merancang perjalanan lebih awal dan membuat pembelian tiket seawal mungkin bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan serta mengelakkan kehabisan tiket pada saat akhir.

Penumpang juga dinasihatkan supaya tiba lebih awal di stesen bagi melancarkan proses pemeriksaan keselamatan dan dokumentasi di pintu masuk.

Tiket boleh diperoleh secara tanpa tunai melalui aplikasi KITS Style, laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my, atau di mesin kios KTMB di stesen terpilih.

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-9779 1200 atau melayari platform media sosial rasmi KTMB untuk mendapatkan maklumat terkini.

SUMBER:

Facebook Rasmi KTMB

Instagram Rasmi KTMB


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI