
Menurut kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
KKM ingin memaklumkan perkembangan terkini situasi influenza di Malaysia. Pemantauan sentinel mendapati kadar Influenza-Like Illness (ILI) meningkat diikuti pertambahan jumlah kluster influenza, kebanyakannya di institusi pendidikan.
Walau bagaimanapun, peningkatan tersebut masih dalam jangkaan musim influenza dan terkawal, dengan kadar kemasukan ke hospital bagi kes Severe Acute Respiratory Infection (SARI) menunjukkan sedikit penurunan. Survelan makmal juga mengesahkan tiada mutasi baharu dikesan, dengan penularan berpunca daripada virus Influenza A (H3), iaitu strain bermusim.
Pemantauan di 58 klinik kesihatan sentinel seluruh negara menunjukkan kadar ILI meningkat kepada 7.38% pada ME 40/2025 berbanding 5.95% pada minggu sebelumnya. Lima negeri dengan kadar konsultasi ILI tertinggi adalah Selangor (14.63%), Melaka (12.49%), Pulau Pinang (12.49%), WP Kuala Lumpur & Putrajaya (11.62%) serta Sabah (8.73%).
Pemantauan di sembilan hospital sentinel pula mendapati kadar kemasukan kes SARI menurun daripada 9.59% (ΜΕ 39/2025) kepada 9.08% (ΜΕ 40/2025).
Sebanyak 97 kluster influenza (meliputi influenza A dan B) dilaporkan pada ME 40/2025, meningkat berbanding 14 kluster pada MΕ 39/2025. Semua negeri melaporkan peningkatan, dengan lima negeri tertinggi ialah Selangor (43). WP Kuala Lumpur & Putrajaya (15), Pulau Pinang.
(10), Johor (9) dan Kedah (5). Majoriti kluster dilaporkan berlaku di sekolah menengah (32), sekolah rendah (26), tadika (15) dan sekolah swasta (9). Peningkatan tersebut mencerminkan pola penularan influenza bermusim yang lazim berlaku dan masih terkawal. Butiran lanjut mengikut negeri dan premis adalah seperti Lampiran 1.
KKM juga ingin menjelaskan bahawa ujian makmal tidak dijalankan secara rutin bagi semua kes ILI kerana majoritinya adalah bergejala ringan dan boleh didiagnosa secara klinikal tanpa memerlukan pengesahan makmal. Rawatan diberikan kepada pesakit yang berisiko tinggi termasuk warga emas, kanak-kanak kecil, wanita hamil serta individu dengan penyakit kronik yang bergejala jangkitan influenza.
Secara umumnya, influenza boleh pulih tanpa rawatan khusus. Pesakit dinasihatkan untuk berehat secukupnya, minum air dengan banyak serta mengamalkan etika batuk dan kebersihan diri bagi mengelakkan penularan kepada orang lain.






