
Menurut Kenyataan media Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
KKM ingin merujuk kepada laporan media berkenaan kejadian penyakit berjangkit yang melibatkan pelajar dan kakitangan sebuah institusi pendidikan di daerah Kuala Muda, Kedah.
Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuala Muda, Kedah telah mengesan kluster Influenza-Like-llness (ILI) dalam kalangan pelajar institusi pendidikan berkenaan pada 23 April 2025 melibatkan 28 kes daripada 158 pelajar yang terdedah dengan kadar serangan 17.7%. Enam (6) daripada 28 kes telah disahkan positif Influenza A dan telah dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani dan telah dibenarkan pulang ke rumah manakala 22 pelajar yang bergejala ILI telah menerima rawatan sebagai pesakit luar.
Tindakan kawalan dan pencegahan oleh PKD dan Jabatan Kesihatan Negeri Kedah telah dilaksanakan termasuk siasatan persekitaran, penilaian risiko di kawasan kem, pengesanan kes secara aktif di institusi pendidikan berkenaan, rawatan serta pengasingan untuk kes bergejala dan pemantauan kes ILI di Daerah Kuala Muda.