
Menurut kenytaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
KKM ingin memaklumkan bahawa Malaysia kini berhadapan dengan peningkatan kes demam denggi. Sehingga Minggu Epidemiologi ke-32 Tahun 2026 (ΜΕ 32/2026), sebanyak 58,079 kes telah dilaporkan, meningkat 56.2 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun 2025, dengan 55 kematian akibat komplikasi demam denggi.
Peningkatan kes pada peringkat awal banyak tertumpu di Lembah Klang, khususnya Selangor serta Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Susulan itu, KKM telah melaksanakan tindakan pencegahan dan kawalan secara intensif dan berfokus, termasuk pengesanan awal kes, kawalan vektor, pengurusan wabak serta mobilisasi anggota bagi memperkukuh kapasiti respons di lapangan. Tindakan yang dipergiatkan ini mula menunjukkan perkembangan positif di Lembah Klang. Namun, risiko penularan denggi masih tinggi dan situasi di peringkat nasional masih membimbangkan berikutan peningkatan kes yang kini turut dikesan di beberapa negeri lain.
Peningkatan kes denggi dipengaruhi oleh pelbagai faktor, termasuk keadaan cuaca yang tidak menentu iaitu taburan hujan yang diselang-seli dengan cuaca panas membentuk persekitaran yang kondusif untuk pembiakan nyamuk Aedes. Kewujudan banyak bekas menakung air yang tidak diselenggara di kawasanan kediaman dan persekitaran juga menyumbang kepada peningkatan risiko pembiakan nyamuk Aedes dan penularan demam denggi.
Pencegahan dan kawalan denggi memerlukan pendekatan seluruh masyarakat (whole-of-society), khususnya apabila lebih 70 peratus tempat pembiakan Aedes masih ditemui di kawasan kediaman. Kementerian dan agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, sektor swasta, pengurusan premis, komuniti serta setiap individu perlu memainkan peranan dalam memastikan kawasan di bawah tanggungjawab masing-masing bebas daripada tempat pembiakan Aedes.
Orang ramai diseru supaya memperuntukkan sekurang-kurangnya 10 minit setiap minggu untuk memeriksa dan memusnahkan tempat pembiakan Aedes di dalam dan sekitar kediaman, mengambil langkah perlindungan daripada gigitan nyamuk serta mendapatkan pemeriksaan dan rawatan segera sekiranya mengalami demam atau tanda-tanda amaran demam denggi.
KKM akan terus memantau situasi secara rapi dan menyesuaikan intervensi berdasarkan perkembangan epidemiologi semasa. Kerjasama semua pihak amat penting bagi memastikan usaha pencegahan dan kawalan denggi dapat dilaksanakan secara berterusan dan berkesan.
SUMBER:






