Penjelasan Berhubung Video Tular Melibatkan Ketua Pengarah AKPS Di KLIA Terminal 1

TULAR:
11

Menurut kenyataan Agensi Kawalan Dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS):

AKPS mengambil maklum mengenai penularan sebuah video di media sosial yang memaparkan YDH. CP Dato’ Sri Mohd Shuhaily bin Mohd Zain, Ketua Pengarah AKPS dalam satu insiden di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Terminal 1.

AKPS mengesahkan bahawa rakaman berkenaan adalah rakaman sebenar yang dipetik daripada sistem kamera litar tertutup (CCTV) di KLIA Terminal 1. Insiden tersebut berlaku pada 28 September 2026 ketika Ketua Pengarah AKPS mengadakan tinjauan bagi menilai tahap kesiapsiagaan operasi AKPS di KLIA sempena ketibaan delegasi dan kru Formula 1 Bahrain Grand Prix 2026.

Dalam tinjauan berkenaan, Ketua Pengarah AKPS bersama pasukan operasi turut melaksanakan aktiviti penguatkuasaan terhadap kegiatan individu warga asing yang disyaki terlibat dalam aktiviti “ulat” di kawasan KLIA. Ini adalah berdasarkan aduan dan dakwaan orang ramai terhadap berlakunya peningkatan aktiviti penyeludupan bahan terlarang dan kontraban hampir setiap hari di KLIA. Pengoperasian ini merupakan aktiviti penguatkuasaan pertama yang dilakukan oleh AKPS bersama pasukan Aviation Security (AVSEC) KLIA dan dilaksanakan secara menyeluruh dan konsisten.

Susulan operasi tersebut, seorang warganegara asing telah dikenalpasti dan dibawa ke ruangan bagasi untuk pemeriksaan lanjut. AKPS ingin menjelaskan bahawa proses pemeriksaan dan temu bual pada ketika itu melibatkan pasukan operasi AKPS bersama Aviation Security (AVSEC) KLIA sahaja dan tidak melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau mana-mana agensi penguatkuasaan yang lain.

Video tular adalah melibatkan dua individu lain ketika itu bukan terdiri daripada pasukan operasi telah memasuki ruangan bagasi berkenaan tanpa disedari pegawai dan telah merakam sesi temu bual antara Ketua Pengarah AKPS bersama warganegara asing tersebut tanpa kebenaran menggunakan telefon bimbit masing-masing. Tindakan tersebut telah menimbulkan provokasi yang mana telah menjejaskan kewibawaan operasi serta individu yang terlibat secara langsung di dalam operasi tersebut.

Ekoran insiden tersebut, kedua-dua individu berkenaan telah membuat satu laporan polis sehari selepas kejadian, dan laporan kedua, dua hari selepas kejadian yang kemudiannya disusuli dengan tular klip video rakaman di media sosial.

Sehubungan itu, satu laporan polis telah dibuat oleh Ketua Pengarah AKPS berhubung tohmahan, rakaman dan penyebaran video berkenaan bagi membolehkan pihak berkuasa menjalankan siasatan secara menyeluruh, termasuk berkaitan keadaan rakaman tersebut diperoleh dan disebarkan. Penyebaran rakaman tersebut juga dipercayai mempunyai unsur berniat jahat serta cubaan menjejaskan imej dan reputasi beliau sebagai Ketua Pengarah AKPS serta agensi ini.

AKPS menghormati proses siasatan yang sedang dijalankan dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Sehubungan itu, orang ramai diminta agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan sehingga siasatan selesai.

SUMBER:

Facebook Rasmi AKPS


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI