
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya (JKWPKL&P) mengambil serius aduan yang tular di media sosial berhubung penggunaan Kad Rekod Pemantauan Pesakit Denggi berbahasa Cina di Klinik Kesihatan Setapak. Siasatan yang dijalankan mendapati insiden tersebut berlaku pada 18 Mei 2026, melibatkan seorang pesakit kanak-kanak yang hadir mendapatkan rawatan bagi kes disyaki demam denggi.
JKWPKL&P ingin menegaskan bahawa penggunaan rekod pemantauan pesakit secara rasmi adalah dalam Bahasa Melayu. Namun, bagi membantu komunikasi dan pemantauan pesakit di kawasan berkepadatan tinggi dengan kes denggi, pihak klinik turut menyediakan kad pemantauan dalam beberapa bahasa sebagai inisiatif sokongan komunikasi kepada pesakit dan penjaga mengikut kesesuaian bahasa.
Dalam kes ini, telah berlaku kesilapan penyerahan kad berlainan bahasa kepada penjaga pesakit yang tidak disengajakan. Walau bagaimanapun, penerangan berkaitan rawatan dan pemantauan telah diberikan oleh pegawai perubatan kepada pesakit dalam Bahasa Melayu, termasuk catatan bertulis pada kad tersebut.
Sehubungan itu, pihak JKWPKL&P telah mengambil langkah penambahbaikan serta-merta bagi memastikan pemberian kad pemantauan dibuat dengan lebih teliti dan bersesuaian, di samping mengekalkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam urusan penyampaian perkhidmatan kesihatan kerajaan.
Akhir sekali, pihak JKWPKL&P ingin memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku dan kekal komited untuk terus memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, selamat dan mesra rakyat.
SUMBER:






