Makluman: KPT Raikan Hawana 2026 dengan Saringan Kesihatan Percuma di Tiga Organisasi Media

TULAR:
4

Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT):

Kesejahteraan pengamal media yang sentiasa berdepan jadual kerja padat dan tekanan tugasan menjadi fokus utama Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sempena sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2026.

Prihatin terhadap cabaran tersebut, KPT melalui Unit Komunikasi Korporat (UKK) telah menganjurkan Program SIHAT SELALU yang dilaksanakan secara serentak di tiga (3) organisasi media bagi memperkukuh hubungan strategik antara Kementerian dan pengamal media.

Program berkenaan menampilkan pendekatan saringan kesihatan yang dibangunkan khusus oleh Hospital Pengajar Universiti (HPU), dengan penyesuaian kepada risiko pekerjaan pengamal media yang sering bekerja di lapangan dan dalam persekitaran tekanan tinggi.

Program ini memberi manfaat kepada hampir 1,000 para wartawan, penyampai berita, hos radio, pengarang berita, krew teknikal dan produksi serta warga kerja di ketiga-tiga agensi media itu.

Di Radio Televisyen Malaysia (RTM), Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAAS), Universiti Putra Malaysia (UPM) menyediakan latihan sokongan hayat asas (CPR) yang penting untuk wartawan lapangan, selain saringan kesihatan asas dan saringan kanser prostat.

Sementara itu, warga Media Prima Berhad menerima manfaat daripada saringan kesihatan komprehensif oleh Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bersama ROSE Foundation, merangkumi penilaian risiko penyakit jantung, kencing manis, darah tinggi dan kolesterol serta pemeriksaan ultrasound berfokus.

Di Astro, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengetengahkan kepakaran khusus melalui ujian peti suara yang relevan kepada penyampai televisyen dan radio, di samping saringan dermaskop, spirometri serta fungsi buah pinggang.

Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT, YBrs. Encik Ahmad Rizal Adnan, turut turun padang meninjau pelaksanaan program di ketiga-tiga lokasi sambil melaksanakan kunjungan korporat ke bilik berita organisasi media terlibat.

Beliau turut mengambil kesempatan untuk mendapatkan maklum balas secara langsung daripada pengamal media berkaitan keperluan semasa serta ruang penambahbaikan dalam kesinambungan kerjasama strategik bersama KPT.

Pendekatan bersepadu tersebut mencerminkan komitmen KPT dalam memastikan kesejahteraan pengamal media terus terpelihara sebagai rakan strategik penting dalam penyampaian agenda pendidikan tinggi negara.

Hadir sama Ketua Komunikasi Korporat KPT, Mohamad Hafizi Rosli; Ketua Penolong Pengarah, Seksyen Tata Kelola, Bahagian Governan IPTA, Jabatan Pendidikan Tinggi, Ahmad Rujhan Abu Seman; serta pengurusan tertinggi RTM, Media Prima Berhad dan Astro.

SUMBER:

Facebook Rasmi KPT

Instagram Rasmi KPT


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI