
Menurut Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP):
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia memandang serius kejadian kemalangan maut yang melibatkan seorang pelajar pelatih, Muhammad Adam Danish bin Mohd Anuar, berusia 24 tahun, semasa menjalankan kerja-kerja pembersihan tangki air di Menara Suajana Perdana 1, Sungai Buloh, Selangor pada 16 Jun 2026.
Menurut JKKP, sejurus menerima pemberitahuan berhubung kejadian tersebut, pegawai penyiasat JKKP Selangor telah menjalankan siasatan di lokasi kejadian. Pihak JKKP turut mengeluarkan Notis Larangan Kacau Ganggu Kawasan Kejadian bagi memastikan siasatan dapat dijalankan dengan teratur dan menyeluruh.
Siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 15, Seksyen 17 dan Seksyen 18 Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, yang memperuntukkan tanggungjawab majikan, orang bekerja sendiri serta pihak berkaitan untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja serta individu lain yang mungkin terjejas oleh aktiviti kerja. Sekiranya didapati berlaku pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa, tindakan penguatkuasaan sewajarnya akan diambil.
JKKP mengingatkan semua majikan dan pekerja agar sentiasa mematuhi keperluan perundangan keselamatan dan kesihatan pekerjaan, khususnya dalam pelaksanaan kerja di ruang terkurung. Setiap aktiviti kerja hendaklah dilaksanakan mengikut prosedur kerja selamat yang ditetapkan, termasuk memperoleh permit kerja yang berkaitan serta memastikan semua langkah kawalan yang bersesuaian dilaksanakan sebelum pekerja dibenarkan memasuki ruang terkurung.
Selain itu, JKKP menegaskan bahawa majikan bertanggungjawab mengenal pasti dan menilai risiko yang berkaitan dengan setiap aktiviti kerja sebelum ia dilaksanakan, terutamanya bagi kerja berisiko tinggi. Majikan juga hendaklah memastikan pekerja, termasuk pelajar latihan industri dan pekerja baharu, menerima latihan, taklimat keselamatan dan kesihatan pekerjaan yang mencukupi serta dipantau oleh penyelia yang kompeten.
JKKP turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa atas kejadian yang berlaku dan menyeru agar keselamatan serta kesihatan semua individu yang terlibat dalam aktiviti kerja, termasuk vendor dan kontraktor, sentiasa diberi keutamaan.
SUMBER:






