
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
KKM memandang serius aktiviti pengiklanan dan penjualan produk penurunan berat badan secara dalam talian, khususnya produk yang didakwa mengandungi Retatrutide atau “Reta” serta ubat suntikan lain yang ditawarkan kepada orang awam tanpa pemeriksaan, preskripsi dan pemantauan oleh pengamal perubatan berdaftar.
Penggunaan produk atau ubat sedemikian tanpa penilaian dan pemantauan perubatan yang sewajarnya boleh menyebabkan kesan advers serta komplikasi yang serius. Keadaan ini juga boleh menjadi lebih berisiko sekiranya kesan advers atau komplikasi tidak dikenal pasti dan ditangani dengan segera.
Menurut kenyataan KKM, sehingga 17 Ogos 2026, belum terdapat produk yang mengandungi Retatrutide yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) untuk digunakan di Malaysia.
Retatrutide merupakan ubat penyiasatan (investigational medicine) yang masih menjalani kajian klinikal Fasa 3 dan belum mendapat kelulusan pemasaran daripada mana-mana pihak berkuasa regulatori di dunia.
Oleh itu, orang awam dinasihatkan supaya tidak mudah terpengaruh dengan tawaran produk penurunan berat badan yang mendakwa mengandungi Retatrutide, khususnya apabila produk tersebut dijual melalui platform dalam talian.
Bahagian Penguatkuasaan Farmasi, KKM terus mengambil tindakan secara proaktif bagi membendung pengiklanan dan penjualan produk penurunan berat badan yang melanggar undang-undang.
Bagi tempoh Januari hingga Julai 2026:
- 65 aduan telah diterima;
- 30 serbuan telah dilaksanakan;
- 17 serbuan melibatkan aktiviti penjualan dalam talian;
- Nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM477,142;
- 209 iklan produk penurunan berat badan, termasuk produk yang didakwa mengandungi Retatrutide, telah diturunkan daripada platform e-dagang; dan
- 1,243 iklan di pelbagai saluran media telah dikenal pasti, disaring dan diambil tindakan sewajarnya.
Perkembangan ini menunjukkan bahawa platform digital boleh digunakan untuk memasarkan produk kesihatan kepada orang awam dengan cepat. Tawaran seperti “ubat kurus”, “suntikan kurus” atau produk yang mendakwa memberikan penurunan berat badan dengan cepat perlu diteliti dengan berhati-hati.
SUMBER:






