
Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB):
KTMB mengambil maklum mengenai penularan rakaman video di media sosial melibatkan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) yang memasuki kawasan landasan kereta api di Stesen Pelabuhan Klang pada 11 Oktober 2026.
Berdasarkan laporan awal, insiden yang berlaku sekitar jam 11.45 malam itu melibatkan sebuah kenderaan awam yang memasuki kawasan landasan melalui pintu pagar Lintasan Rata sebelum berhenti di KM 43.273, kira-kira 130 meter dari lokasi kemasukan.
Susulan kejadian tersebut, pasukan berkaitan telah digerakkan ke lokasi bagi mengeluarkan kenderaan secara terkawal. Kenderaan berkenaan berjaya dialihkan dan landasan kembali bebas pada jam 1.20 pagi, 12 Oktober 2026.
Pemeriksaan mendapati tiada kerosakan pada landasan, sistem semboyan dan sistem Alat Talian Atas (ATA). Pemandu kenderaan tersebut dilaporkan tidak mengalami sebarang kecederaan. Namun, insiden berkenaan turut menyebabkan kelewatan operasi perkhidmatan tren KTMB.
Berdasarkan rekod KTMB, sebanyak tujuh (7) kes pencerobohan melibatkan individu di kawasan landasan kereta api yang telah mengakibatkan gangguan operasi tren direkodkan sepanjang tempoh Januari hingga September 2026.
KTMB memandang serius sebarang bentuk pencerobohan, vandalisme serta kecurian kabel yang melibatkan fasiliti rel kerana tindakan tersebut boleh menjejaskan operasi tren dan membahayakan keselamatan penumpang serta kakitangan.
Perbuatan menceroboh dan merosakkan harta benda kereta api adalah satu kesalahan serius di bawah Akta Keretapi 1991 (Akta 463) dan Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715), yang memperuntukkan tindakan tegas termasuk denda, penjara atau kedua-duanya sekali terhadap pesalah yang disabitkan kesalahan.
SUMBER:






