Makluman: Memperkukuh Tadbir Urus Tanah Dan Sektor Mineral Negara

TULAR:
7

Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam (NRES):

Majlis Tanah Negara (MTN) Ke-83 yang dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada hari ini memberi tumpuan kepada beberapa perkara strategik berkaitan dasar tanah dan mineral negara serta penyelarasan pentadbiran tanah antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri.

MTN terus menjadi platform strategik dalam memperkukuh penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri bagi memastikan dasar dan pengurusan tanah negara dilaksanakan secara terancang, bersepadu dan mampan.

Antara perkara utama yang dibincangkan ialah keputusan-keputusan dalam Mesyuarat Majlis Mineral Negara Ke-4 termasuk kajian penyelarasan kadar royalti mineral dan bahan batuan serta pembangunan Dasar Mineral Kritikal Negara.

Cadangan tersebut mengambil kira kepentingan mineral sebagai salah satu sumber strategik negara yang perlu diurus secara terancang, bertanggungjawab dan mampan, khususnya dalam mendepani perkembangan teknologi baharu, peralihan tenaga serta peningkatan permintaan terhadap mineral kritikal.

Dalam pada itu, MTN Ke-83 turut memberi perhatian kepada cadangan semakan kadar cukai tanah bagi Negeri Kedah dan Negeri Perlis. Cadangan semakan kadar cukai tanah bagi kedua-dua negeri tersebut dibentangkan semula kepada MTN untuk pertimbangan, selaras dengan peruntukan undang-undang dan tatacara yang berkaitan.

MTN turut menekankan kepentingan kerjasama dan penyelarasan berterusan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri supaya dasar serta keputusan berkaitan tanah dapat dilaksanakan secara lebih tersusun, konsisten dan berkesan, selaras dengan bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Kerajaan yakin bahawa melalui kerjasama erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Negeri, pengurusan tanah negara dapat terus diperkasakan bagi menyokong agenda pembangunan negara yang inklusif, berdaya tahan dan mampan.

Sehubungan itu, MTN akan terus menjadi wadah penting dalam memastikan dasar dan pengurusan tanah negara sentiasa responsif terhadap keperluan semasa, cabaran masa hadapan serta kepentingan rakyat dan negara.

SUMBER:

Facebook Rasmi NRES


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI