
Menurut kenyataan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP):
JKKP Selangor telah menerima laporan kes kemalangan melibatkan dua orang mangsa berusia 22 tahun dan 25 tahun. Kejadian dilaporkan berlaku pada 22 Ogos 2026, kira-kira pukul 11:10 malam di ruang penyelenggaraan kapal terbang di Selangor. Pasukan penyiasat dari JKKP Selangor telah ke lokasi kejadian pada 23 Ogos 2026 sebaik menerima maklumat daripada pihak majikan.
Siasatan awal dan semakan rakaman kamera litar tertutup mendapati dua orang mangsa tersebut ditugaskan menyimpan peralatan pembaikan kapal terbang dengan menaiki traktor, sebelum traktor tersebut terjatuh ke dalam lubang yang dilalui akibat penutup jaring besi lubang tersebut tiba-tiba runtuh. Pemandu traktor berjaya diselamatkan oleh pekerja berhampiran, manakala seorang lagi mangsa maut di lokasi kejadian akibat dihempap kenderaan tersebut. Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat.
Susulan daripada siasatan yang dilakukan, pihak Jabatan telah mengeluarkan Notis Larangan bagi menghentikan aktiviti kerja dan surat arahan Larangan Kacau Ganggu bagi memastikan kawasan kemalangan tidak dikacau ganggu. Siasatan lanjut sedang dijalankan dengan memanggil majikan dan saksi kejadian untuk membantu siasatan.
Siasatan ini dijalankan di bawah Seksyen 15(1), Akta Keselamatan dan KesihatanPekerjaan 1994, yang mewajibkan majikan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja semasa bekerja. Mana-mana majikan yang didapati melanggar peruntukan akta ini boleh dikenakan tindakan perundangan termasuk denda maksimum RM500,000.00 sekiranya disabitkan kesalahan.
JKKP Selangor memandang serius setiap kejadian kemalangan di tempat kerja terutamanya yang melibatkan kematian. Majikan bertanggungjawab sepenuhnya untuk mengenal pasti bahaya di tempat kerja, menjalankan pentaksiran risiko dan melaksanakan langkah kawalan yang sewajarnya sebelum kerja dimulakan. Kejadian seperti ini boleh dielakkan sekiranya majikan mematuhi prosedur keselamatan dan kesihatan serta melaksanakan kawalan risiko secara berterusan bagi aktiviti kerja yang dirancang.
SUMBER:






