Makluman: Pemantauan Penyakit Berkaitan Jerebu

TULAR:
5

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

KKM ingin memaklumkan bahawa berdasarkan bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) menerusi Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS), Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 22 September 2026, pukul 7.00 pagi, sebanyak dua (2) stesen berada pada tahap Baik manakala 50 stesen pada tahap Sederhana. Sebanyak 16 stesen merekodkan tahap Tidak Sihat melibatkan 10 kawasan di Sarawak iaitu Sibu, Sri Aman, Mukah, Kapit, IPD Serian, Bintulu, Kuching, Samalaju, Sarikei, dan Samarahan; dua (2) kawasan di Selangor iaitu Shah Alam dan Johan Setia; serta masing-masing satu (1) kawasan di Wilayah Persekutuan Putrajaya (Putrajaya), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (Cheras), Negeri Sembilan (Nilai) dan Sabah (Politeknik Kota Kinabalu). Tiada stesen mencatatkan tahap Sangat Tidak Sihat atau Berbahaya.

Situasi jerebu yang melanda beberapa kawasan di Malaysia kini telah memasuki minggu ketujuh, dengan keadaan kualiti udara yang berubah-ubah mengikut lokasi dan semasa.

Berdasarkan pemantauan harian penyakit berkaitan jerebu melalui 78 fasiliti kesihatan sentinel jerebu di seluruh negara, KKM mendapati bahawa secara keseluruhannya terdapat penurunan kes bagi ketiga-tiga penyakit yang dipantau pada Minggu Epidemiologi (ΜΕ) 37/2026 berbanding ME 36/2026, seperti berikut:

  1. Jangkitan Saluran Pernafasan Atas (URTI) menurun daripada 7,065 kes pada ME 36/2026 kepada 5,639 kes pada ME 37/2026, iaitu penurunan sebanyak 1,426 kes (20.18%);
  2. Asma menurun daripada 1,117 kes pada ME 36/2026 kepada 722 kes pada ME 37/2026, iaitu penurunan sebanyak 395 kes (35.36%); dan
  3. Konjunktivitis menurun daripada 334 kes pada ME 36/2026 kepada 227 kes pada ME 37/2026, iaitu penurunan sebanyak 107 kes (32.04%).

Walaupun terdapat penurunan kes penyakit berkaitan jerebu yang dipantau, KKM akan terus melaksanakan pemantauan rapi terhadap situasi jerebu dan kesannya terhadap kesihatan, khususnya di kawasan yang merekodkan kualiti udara pada tahap Tidak Sihat.

TINDAKAN KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM)

KKM telah melaksanakan tindakan-tindakan berikut:

  1. Memantau kes URTI, asma, dan konjunktivitis setiap hari melalui 78 fasiliti kesihatan sentinel jerebu;
  2. Menilai bacaan IPU bersama-sama data survelan kesihatan bagi menentukan tindakan kesihatan awam;
  3. Mengaktifkan Bilik Gerakan Jerebu Kebangsaan sejak 4 September 2026 untuk menyelaras pemantauan dan respons;
  4. Memastikan kesiapsiagaan fasiliti kesihatan, termasuk ketersediaan ubat-ubatan, bekalan oksigen, dan peralatan perubatan berkaitan; dan
  5. Mempergiat pendidikan kesihatan, komunikasi risiko dan penyampaian nasihat kesihatan kepada orang ramai, khususnya kepada golongan berisiko.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai, khususnya mereka yang berada di kawasan dengan kualiti udara Tidak Sihat, supaya mengambil langkah-langkah pencegahan berikut:

  1. Menangguhkan penganjuran aktiviti luar yang melibatkan aktiviti fizikal lasak semasa keadaan berjerebu. Aktiviti fizikal lasak meningkatkan kadar pernafasan dan seterusnya meningkatkan jumlah udara tercemar yang disedut;
  2. Mengurangkan aktiviti di luar bangunan, khususnya bagi golongan berisiko seperti kanak-kanak, warga emas serta individu yang menghidap penyakit respiratori kronik dan penyakit jantung;
  3. Mengehadkan tempoh berada di luar bangunan kepada urusan yang perlu sahaja dan menggunakan pelitup muka yang sesuai apabila berada di kawasan yang terjejas;
  4. Bagi individu yang menghidap penyakit respiratori kronik dan penyakit jantung, pastikan pengambilan ubat diteruskan mengikut arahan dan nasihat pegawai perubatan; dan
  5. Segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan terdekat sekiranya mengalami gejala atau keadaan kesihatan bertambah teruk.

SUMBER:

Facebook Rasmi KKM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI