
Menurut kenyataan Jabatan Alam Sekitar (JAS):
JAS memandang serius perkembangan kualiti udara semasa dan terus memperkukuh pemantauan serta tindakan di lapangan selaras dengan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) dan Arahan NADMA No. 1: Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara.
Indeks Pencemar Udara (IPU) yang direkodkan di laman sesawang Jabatan Alam Sekitar pada jam 10 pagi ini menunjukkan lapan (8) kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap baik, dua puluh tiga (23) kawasan mencatatkan status kualiti udara pada tahap sederhana, tiga puluh lima (35) kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap tidak sihat, dan dua (2) kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap sangat tidak sihat pada hari ini, iaitu:
SANGAT TIDAK SIHAT
1) Kuching, SARAWAK (IPU – 223)
2) Sri Aman, SARAWAK (IPU-215)
TIDAK SIHAT
1) Batu Muda, W.P. KUALA LUMPUR (IPU-163)
2) Cheras, W.P. KUALA LUMPUR (IPU – 163)
3) Putrajaya, W.P. PUTRAJAYA (IPU-163)
4) Kuala Selangor, SELANGOR (IPU – 154)
5) Petaling Jaya, SELANGOR (IPU – 157)
6) Shah Alam, SELANGOR (IPU – 168)
7) Klang, SELANGOR (IPU – 154)
8) Banting, SELANGOR (IPU – 157)
9) Nilai, NEGERI SEMBILAN (IPU – 167)
10) Seremban, NEGERI SEMBILAN (IPU – 166)
11) Port Dickson, NEGERI SEMBILAN (IPU – 152)
12) Alor Gajah, MELAKA (IPU – 156)
13) Bukit Rambai, MELAKA (IPU – 156)
14) Segamat, JOHOR (IPU – 160)
15) Batu Pahat, JOHOR (IPU – 133)
16) Kluang, JOHOR (IPU – 148)
17) Temerloh, PAHANG (IPU – 164)
18) Jerantut, PAHANG (IPU – 168)
19) Paka, TERENGGANU (IPU – 107)
20) Kota Kinabalu, SABAH (IPU – 161)
21) Kimanis, SABAH (IPU – 154)
22) Labuan, W.P. LABUAN (IPU – 161)
23) Limbang, SARAWAK (IPU – 160)
24) ILP Miri, SARAWAK (IPU – 182)
25) Miri, SARAWAK (IPU – 175)
26) Samalaju, SARAWAK (IPU – 200)
27) Bintulu, SARAWAK (IPU – 198)
28) Mukah, SARAWAK (IPU – 194)
29) Sibu, SARAWAK (IPU – 181)
30) Sarikei, SARAWAK (IPU – 188)
31) Samarahan, SARAWAK (IPU – 192)
32) Tangkak, JOHOR (IPU – 152)
33) JOHAN SETIA, SELANGOR (IPU – 180)
34) IPD Serian, SARAWAK (IPU – 182)
35) Politeknik Kota Kinabalu, SABAH (IPU – 164)
Berdasarkan rekod pemantauan JAS pada jam 10.00 pagi, 6 September 2026, sebanyak dua (2) kawasan iaitu Kuching (IPU 223) dan Sri Aman (IPU 215), mencatatkan bacaan pada tahap sangat tidak sihat. Beberapa kawasan lain di Sarawak turut merekodkan bacaan pada tahap tidak sihat.
Keadaan ini berlaku dalam persekitaran cuaca kering yang berterusan di sebahagian Rantau Selatan ASEAN. Berdasarkan laporan ASEAN Specialised Meteorological Centre (ASMC) pada 5 September 2026, sebanyak 184 titik panas dikesan di Kalimantan, 373 di Sumatera dan 1 titik panas di Malaysia, iaitu 1 di Perak. ASMC turut melaporkan kepulan asap rentas sempadan sederhana hingga tebal diperhatikan meliputi bahagian utara Borneo. Kepulan asap sederhana hingga tebal turut diperhatikan berpunca daripada kelompok titik panas yang dikesan di banyak kawasan di Kalimantan serta bahagian tengah dan selatan Sumatera. Jerebu sederhana turut diperhatikan di Singapura dan bahagian selatan Semenanjung Malaysia.
TINDAKAN JAS DIPERKUKUH
Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut memberi perhatian khusus terhadap kejadian kebakaran yang dilaporkan di kawasan belukar dan tanah gambut berhampiran Jalan Sibujaya Barat, Mukah serta Sungai Nai, Daro, Sarawak, berikutan risiko kebakaran yang lebih tinggi dalam keadaan cuaca panas dan kering. Kebakaran di kawasan vegetasi dan tanah gambut berpotensi menghasilkan asap dan pelepasan bahan pencemar yang boleh menjejaskan kualiti udara setempat sekiranya tidak dikawal.
Berdasarkan status terkini, kebakaran di kawasan Jalan Sibujaya Barat telah berjaya dikawal dan dipadamkan bagi kawasan seluas 9 hektar, dengan baki kira-kira 1 hektar masih dalam tindakan pemadaman. Manakala di Sungai Nai, Daro, daripada keseluruhan kawasan seluas 3 hektar yang terbakar, kira-kira 2.5 hektar masih terbakar, namun keadaan dilaporkan terkawal merujuk kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
JAS Sarawak akan terus memantau perkembangan kebakaran di kedua-dua lokasi berkenaan, termasuk menilai potensi kesannya terhadap kualiti udara. Penerbangan dron turut akan dilaksanakan bagi mendapatkan gambaran terkini mengenai status kebakaran dan keluasan kawasan yang terjejas. Pemantauan kualiti udara serta tindakan susulan akan dilaksanakan berdasarkan keadaan sebenar di lapangan dan hasil penilaian JAS bersama agensi berkaitan.
Dalam konteks kawalan pencemaran udara, JAS sentiasa memberi perhatian terhadap sebarang aktiviti pembakaran terbuka dan kejadian kebakaran yang berpotensi menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. Pemantauan akan dipertingkatkan sekiranya berlaku peningkatan pencemaran udara, manakala tindakan sewajarnya akan diambil mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa bagi memastikan kesan kebakaran terhadap alam sekitar dan kesihatan awam dapat diminimumkan.
Pada masa yang sama, JAS akan terus memantau bacaan IPU, titik panas, keadaan meteorologi dan perkembangan jerebu rentas sempadan sebagai input kepada penilaian situasi dan penyelarasan tindakan pengurusan jerebu di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
JAS turut menekankan kerjasama pihak industri dalam memastikan pelepasan udara daripada punca utama dikurangkan bagi kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 300, selaras dengan keperluan kawalan pencemaran dan tanggungjawab pihak industri dalam membantu mengurangkan tekanan terhadap kualiti udara.
TINDAKAN SELARAS PTJK
Tindakan JAS dilaksanakan secara bersepadu selaras dengan PTJK yang menetapkan peranan pelbagai agensi berdasarkan tahap dan perkembangan situasi jerebu. Antara mekanisme yang digariskan ialah pengaktifan Jawatankuasa Pengurusan Bencana oleh NADMA apabila:
bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam;
penghentian aktiviti luar bilik darjah apabila IPU melebihi 100;
penutupan sekolah, tadika dan taska apabila IPU melebihi 200; dan
pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan tertakluk kepada kehadiran awan dan keadaan cuaca yang sesuai apabila bacaan IPU melebihi 150 selama lebih 24 jam.
JAS akan terus mengemukakan maklumat berkaitan perkembangan situasi, hasil pemantauan, rondaan, OMPT dan tindakan penguatkuasaan secara berkala mengikut mekanisme pelaporan yang ditetapkan. Ini bagi memastikan perkembangan situasi dapat dinilai secara berterusan dan tindakan sewajarnya dapat diselaraskan di semua peringkat.
Dalam keadaan semasa, JAS tidak akan berkompromi terhadap sebarang pembakaran terbuka yang dikenal pasti berpunca daripada aktiviti manusia, khususnya sekiranya aktiviti tersebut menyumbang kepada kemerosotan kualiti udara. Tindakan pencegahan, pemeriksaan, siasatan dan penguatkuasaan akan diteruskan berdasarkan bukti serta bidang kuasa yang diperuntukkan kepada JAS.
ORANG RAMAI DIMINTA BEKERJASAMA
JAS menyeru orang ramai supaya tidak melakukan pembakaran terbuka, khususnya ketika keadaan cuaca panas dan kering serta kualiti udara berada pada tahap yang tidak sihat hingga berbahaya. Orang ramai juga diminta supaya tidak membenarkan tanah atau premis milik mereka dimasuki atau dicerobohi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab sehingga menyebabkan berlakunya pembakaran terbuka.
Selaras dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024, kesalahan pembakaran terbuka boleh dikenakan denda minimum RM25,000 hingga RM1,000,000, atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya. Kompaun sehingga 50 peratus daripada denda maksimum juga boleh dikenakan bagi setiap kesalahan.
Orang ramai diminta segera melaporkan sebarang kejadian kebakaran atau pembakaran terbuka kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia melalui talian 999 atau JAS melalui talian bebas tol 1-800-88-2727 bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Bacaan IPU terkini setiap jam boleh dirujuk melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara (APIMS) JAS atau aplikasi rasmi MyJAS EQMS. Orang ramai juga dinasihatkan supaya mengikuti arahan dan nasihat kesihatan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.
SUMBER:






