Makluman: Pemantauan Penyakit Berkaitan Jerebu

TULAR:
5

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):

KKM mengambil maklum situasi jerebu yang sedang melanda beberapa kawasan di negara ini. Berdasarkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) melalui Sistem Pengurusan Indeks Pencemaran Udara (APIMS) pada pukul 8.00 pagi, 10 Oktober 2026, sebanyak 32 stesen pemantauan kualiti udara mencatatkan bacaan IPU pada tahap Tidak Sihat (101 hingga 200), melibatkan lapan (8) negeri dan dua (2) Wilayah Persekutuan.

Kawasan yang mencatatkan bacaan IPU Tidak Sihat ialah lapan (8) kawasan di Johor, enam (6) di Selangor, empat (4) di Perak, masing-masing tiga (3) kawasan di Negeri Sembilan, Melaka, dan Pahang, dua (2) kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, serta masing-masing satu (1) kawasan di Wilayah Persekutuan Putrajaya, Sarawak, dan Pulau Pinang. Tiada kawasan mencatatkan bacaan IPU pada tahap Sangat Tidak Sihat atau Berbahaya.

KKM turut mengambil maklum bahawa kejadian jerebu telah berlarutan sejak beberapa minggu kebelakangan ini di beberapa kawasan tertentu, dengan tahap pencemaran udara yang berubah-ubah mengikut kawasan dan keadaan semasa.

Bagi memantau kesan jerebu terhadap kesihatan penduduk, KKM menjalankan pemantauan penyakit berkaitan jerebu melalui 78 fasiliti kesihatan terpilih di seluruh negara. Berdasarkan data yang dilaporkan bagi Minggu Epidemiologi (ME) 39/2026 dan ME 40/2026, bilangan kes yang direkodkan adalah seperti berikut:

1. Jangkitan saluran pernafasan atas: Meningkat daripada 3,509 kes kepada 3,875 kes, iaitu peningkatan sebanyak 10.43%.

2. Asma: Menurun daripada 535 kes kepada 462 kes, iaitu penurunan sebanyak 13.64%.

3. Konjunktivitis (radang mata): Meningkat daripada 102 kes kepada 129 kes, iaitu peningkatan sebanyak 26.47%.

KKM akan terus memperkukuh pemantauan penyakit berkaitan jerebu memandangkan pendedahan kepada udara tercemar boleh menjejaskan kesihatan, khususnya dalam kalangan kanak-kanak, warga emas, wanita hamil serta individu yang mempunyai penyakit paru-paru dan jantung.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan orang ramai, khususnya mereka yang berada di kawasan dengan bacaan IPU Tidak Sihat, supaya mengambil langkah pencegahan berikut:

1. Elakkan atau tangguhkan aktiviti di luar bangunan, terutama bagi golongan yang lebih mudah terjejas akibat jerebu seperti kanak-kanak, warga emas, dan individu yang mempunyai penyakit paru-paru atau jantung.

2. Hadkan masa berada di luar bangunan dan gunakan pelitup muka yang sesuai, seperti N95, sekiranya perlu berada di luar dalam keadaan berjerebu.

3. Elakkan atau tangguhkan aktiviti fizikal lasak di luar bangunan, termasuk aktiviti sukan dan riadah, khususnya di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU Tidak Sihat. Langkah ini penting kerana aktiviti fizikal yang lasak meningkatkan kadar pernafasan dan jumlah udara tercemar yang disedut.

4. Penganjuran aktiviti di luar bangunan perlu mengambil kira situasi jerebu semasa dan ditangguhkan apabila kualiti udara berada pada tahap tidak sihat.

5. Perlahankan kenderaan atau berhenti di tempat yang selamat sekiranya jarak penglihatan terhad. Mengurangkan kelajuan kenderaan boleh mengurangkan risiko kemalangan dan kecederaan yang diakibatkan oleh jerebu atau kabus.

6. Tutup tingkap bagi mengurangkan asap jerebu masuk ke dalam rumah atau bangunan. Elakkan aktiviti yang boleh meningkatkan pencemaran udara dalam rumah atau bangunan dengan tidak merokok dan sentiasa membersihkan persekitaran dalaman.

7. Pastikan pengambilan ubat secara teratur bagi individu yang mempunyai penyakit kronik, khususnya asma serta penyakit paru-paru dan jantung. Dapatkan rawatan segera sekiranya mengalami gejala seperti sesak nafas, batuk yang semakin teruk atau kesukaran bernafas.

8. Semak bacaan IPU secara berkala melalui saluran rasmi Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan ambil langkah pencegahan yang bersesuaian mengikut tahap kualiti udara di kawasan masing-masing.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai langkah pencegahan dan perlindungan kesihatan semasa jerebu melalui laman sesawang KKM di https://infosihat.moh.gov.my/isu-semasa/51-jerebu.html.

KKM akan terus memantau situasi jerebu dan kesannya terhadap kesihatan penduduk serta memastikan fasiliti kesihatan, bekalan ubat-ubatan, dan petugas kesihatan sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan yang diperlukan.

KKM menyeru orang ramai supaya sentiasa berwaspada, mengurangkan pendedahan kepada jerebu dan mengutamakan kesihatan diri serta keluarga.

SUMBER:

Facebook Rasmi KKM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI