
Menurut kenyataan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama):
Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menjelaskan bahawa langkah Kerajaan menanggung sepenuhnya caruman PERKESO buat 40,000 orang imam, bilal, tok siak, noja, marbut, dan guru takmir di seluruh negara merupakan manifestasi pemeliharaan maslahat serta pengiktirafan tertinggi terhadap khidmat bakti para kakitangan berkaitan secara langsung dengan hal ehwal Islam. Inisiatif ini dizahirkan secara khusus demi menjamin kebajikan, perlindungan sosial, dan kesejahteraan para petugas serta pendidik masyarakat yang sentiasa berkhidmat di barisan hadapan syiar Islam.
Ingin ditegaskan secara nyata bahawa tiada dana pendeposit Tabung Haji (TH) yang digunakan bagi pembiayaan caruman ini. Peruntukan berkenaan adalah 100 peratus bersumberkan peruntukan khas Kerajaan yang disalurkan melalui mekanisme TH semata-mata atas kapasiti pengurusan. Segala dakwaan atau andaian yang menyatakan wujudnya penggunaan wang simpanan jemaah haji adalah sama sekali tidak benar dan berunsur spekulatif.
Pihak Kerajaan kekal komited dan tegas dalam memelihara integriti pengurusan amanah TH serta tadbir urus korporat yang telus berteraskan prinsip Syariah. Usaha murni memartabatkan kebajikan para petugas masjid dan guru takmir ini akan terus dilaksanakan tanpa kompromi, demi memastikan kemakmuran institusi agama dan keberkatan pembangunan ummah di bumi Malaysia sentiasa terpelihara.
SUMBER:






