
Menurut Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC):
Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memaklumkan bahawa penganjuran Anugerah Seni Negara (ASN) 2026 yang dijadualkan berlangsung pada tahun ini telah ditangguhkan ke satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.
Menurut MOTAC, keputusan tersebut dibuat selaras dengan pelaksanaan Arahan Kewangan: Langkah-Langkah Kawalan Perbelanjaan Mengurus Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Tahun 2026, sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memperkukuh pengurusan kewangan awam secara berhemat, cekap dan berintegriti.
Kementerian menjelaskan bahawa langkah berkenaan turut mengambil kira keperluan semasa negara bagi memastikan pengurusan sumber kewangan dilaksanakan secara bertanggungjawab dan berfokus kepada keutamaan nasional.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 23 Jun 2026, MOTAC turut merakamkan penghargaan kepada penggiat seni, badan bukan kerajaan (NGO), institusi budaya serta pihak berkepentingan yang sentiasa memberikan komitmen dan sokongan dalam usaha memartabatkan seni, budaya dan warisan negara.
MOTAC menegaskan bahawa penangguhan tersebut hanya melibatkan pelaksanaan majlis penganugerahan dan tidak menjejaskan usaha berterusan kementerian dalam memperkasa sektor seni dan budaya negara. Pelbagai program pembangunan kapasiti, pemerkasaan industri seni, pemuliharaan warisan serta inisiatif pengembangan budaya akan terus dilaksanakan mengikut perancangan yang telah ditetapkan.
Sebagai pengiktirafan tertinggi negara kepada tokoh dan penggiat seni yang telah memberikan sumbangan cemerlang kepada pembangunan seni tanah air, ASN kekal sebagai agenda penting kementerian. MOTAC akan terus menilai kesesuaian penganjurannya pada masa hadapan berdasarkan kedudukan semasa dan keutamaan kerajaan.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat terkini berhubung ASN 2026 menerusi saluran rasmi MOTAC dari semasa ke semasa.
SUMBER:






