
Menurut Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Bin Abu Bakar:
Malaysia mencatat pencapaian memberangsangkan dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2026 yang diterbitkan oleh Institute for Management Development (IMD), apabila melonjak lapan anak tangga ke kedudukan ke-15 dunia berbanding kedudukan ke-23 pada tahun lalu. Pencapaian ini merupakan yang terbaik dicapai negara dalam tempoh sedekad dan mencerminkan keberkesanan usaha reformasi yang dilaksanakan Kerajaan MADANI.
Salah satu faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan tersebut ialah Kecekapan Kerajaan, yang mencatat lonjakan 11 anak tangga daripada kedudukan ke-25 kepada ke-14 dunia. Prestasi ini menunjukkan bahawa inisiatif yang dilaksanakan bagi memperkukuh tatakelola, meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan dan mengurangkan kerenah birokrasi mula memberikan impak positif kepada rakyat serta komuniti perniagaan.
Antara pencapaian yang direkodkan termasuk peningkatan ketara dalam sub-faktor Perundangan Perniagaan yang melonjak 29 anak tangga ke kedudukan ke-17 dunia. Selain itu, indikator Tempoh Memulakan Perniagaan meningkat 38 anak tangga kepada kedudukan ke-15, manakala indikator Birokrasi berada pada kedudukan keenam terbaik dunia.
Pencapaian ini selari dengan pelaksanaan Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA) yang menjadi kerangka utama dalam usaha memperkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan. Melalui pendekatan yang menekankan pembangunan modal insan, pengukuhan organisasi, peningkatan tatakelola dan kerjasama antara sektor awam, swasta serta masyarakat, ARPA bertujuan mewujudkan perkhidmatan awam yang lebih cekap, responsif dan berprestasi tinggi.
Dalam mempercepatkan reformasi peraturan negara, Kerajaan turut memperkenalkan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (ILTIZAM) dan Pekeliling ILTIZAM yang mula berkuat kuasa pada 1 Disember 2025. Inisiatif ini memperkenalkan mekanisme semakan berkala terhadap instrumen kawal selia, pengurangan beban peraturan sekurang-kurangnya 25 peratus serta pelaksanaan dasar “satu masuk, satu keluar” bagi memastikan peraturan sentiasa relevan dan mesra perniagaan.
Pada masa yang sama, Program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) terus diperkasa dengan sasaran 500 projek reformasi dilaksanakan sepenuhnya pada tahun 2026. Program ini dijangka menjana penjimatan kos pematuhan sehingga RM2.5 bilion kepada rakyat dan komuniti perniagaan.
Kejayaan ini membuktikan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan, mengurangkan beban peraturan dan meningkatkan daya saing negara. Lebih penting, setiap usaha reformasi yang dilaksanakan bertujuan memastikan rakyat menerima perkhidmatan yang lebih pantas, cekap dan berkualiti, sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dan kesejahteraan negara.
SUMBER:
Facebook Rasmi Tan Sri Shamsul Azri Bin Abu Bakar
Instagram Rasmi Tan Sri Shamsul Azri Bin Abu Bakar
X Rasmi Tan Sri Shamsul Azri Bin Abu Bakar






