
Menurut Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT):
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) hari ini melancarkan Kempen Kitar Semula Kebangsaan 2026 bertemakan “Daripada Sisa Kepada Sumber” sebagai usaha memperkukuh pelaksanaan Blueprint Ekonomi Kitaran Bagi Sisa Pepejal (2025–2035) dan meningkatkan kadar pengalihan sisa daripada tapak pelupusan kepada 53 peratus menjelang 2035.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Tuan Nga Kor Ming, berkata amalan kitar semula kini menjadi keperluan strategik negara dalam menghadapi cabaran gangguan rantaian bekalan global dan peningkatan kos bahan mentah.
Menurut beliau, sumber yang paling selamat bukan semestinya diimport dari luar negara, sebaliknya sumber yang berjaya dipulihkan dan dikitar semula di dalam negara sendiri.
Beliau berkata demikian ketika melancarkan kempen berkenaan di WOW Plaza, LaLaport Bukit Bintang City Centre di sini hari ini.
Melalui kempen itu, KPKT dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memperhebat penguatkuasaan pengasingan sisa di punca serta menggalakkan pembudayaan Ekonomi Kitaran 9R dalam kalangan rakyat dan sektor industri.
Majlis turut menyaksikan pelancaran kiosk “Sort & Drop – Recycle the Cartons” hasil kerjasama strategik antara Tetra Pak, KPT Recycle dan LaLaport Bukit Bintang City Centre bagi memudahkan orang ramai mengasingkan serta mengitar semula kotak minuman terpakai.
KPKT menegaskan kejayaan agenda ekonomi kitaran memerlukan penglibatan seluruh masyarakat melalui pendekatan whole-of-nation bagi memastikan sisa yang dihasilkan dapat dipulihkan, diproses dan dikembalikan ke dalam rantaian ekonomi sebagai sumber domestik yang bernilai.
SUMBER:






