Makluman: Calon Malaysia Dilantik Sebagai Anggota Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Penggal 2027–2031

TULAR:
4

Menurut Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM):

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Dato’ Yasmien Muhammad Shariff atas pelantikan beliau sebagai anggota Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Committee on the Rights of the Child – CRC) bagi penggal 2027–2031.

Dato’ Yasmien Muhammad Shariff telah memperoleh undian tertinggi dalam kalangan calon yang bertanding apabila menerima 136 undi daripada 189 negara pihak yang hadir. Pemilihan beliau merupakan pencapaian bersejarah kerana ini merupakan kali kedua Malaysia berjaya memperoleh tempat dalam badan tersebut selepas menganggotai jawatankuasa berkenaan bagi penggal 2013–2017.

Pemilihan ini telah berlangsung sempena Mesyuarat Negara-Negara Pihak Ke-21 kepada Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak di Ibu Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), New York pada 23 Jun 2026.

Menurut KPWKM, kejayaan ini mencerminkan keyakinan dan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap komitmen Malaysia dalam memperjuangkan hak kanak-kanak selaras dengan prinsip-prinsip CRC. Ia juga menjadi pengiktirafan kepada usaha Malaysia yang telah menjadi peneraju sesi Dialog Konstruktif Bersama Jawatankuasa CRC pada tahun 2022 dan 2026 di Geneva, Switzerland.

Pelbagai usaha telah dilaksanakan oleh Malaysia bagi memastikan hak kanak-kanak diperjuangkan. Antaranya termasuk menjadi negara pertama melaksanakan inisiatif “A Journey of Malaysia’s Participation under the Convention on the Rights of the Child (CRC)” yang melibatkan penyertaan aktif kanak-kanak dalam proses pelaporan Malaysia.

Kejayaan ini turut mencerminkan kerjasama erat antara KPWKM selaku kementerian peneraju pelaksanaan CRC di Malaysia dan Kementerian Luar Negeri (KLN) yang memainkan peranan penting dalam proses pencalonan serta urusan antarabangsa yang menyumbang kepada kejayaan tersebut.

Sebagai anggota Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak PBB, Dato’ Yasmien Muhammad Shariff akan berkhidmat atas kapasiti peribadi dan bebas. Beliau akan menyumbang kepada mandat jawatankuasa dalam memantau pelaksanaan CRC, melibatkan diri dalam dialog konstruktif bersama negara-negara pihak serta mempromosikan pendekatan berasaskan hak dalam menangani cabaran yang menjejaskan kanak-kanak di seluruh dunia.

KPWKM turut menyeru semua pihak berkepentingan untuk terus memperkukuh agenda hak kanak-kanak di peringkat nasional dan antarabangsa. Kerajaan MADANI komited memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang yang saksama untuk berkembang, dilindungi dan mencapai potensi sepenuhnya.

Dalam landskap global yang semakin kompleks, peranan Jawatankuasa Hak Kanak-Kanak kekal penting dalam mempertahankan hak, maruah dan masa depan setiap kanak-kanak. Malaysia menzahirkan harapan agar Dato’ Yasmien Muhammad Shariff dapat terus membawa suara serta kepentingan kanak-kanak Malaysia ke peringkat antarabangsa.

SUMBER:

Facebook Rasmi KPWKM

Instagram Rasmi KPWKM

X Rasmi KPWKM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI