Makluman: Malaysia Kekal Tegas Dalam Usaha Mendapatkan Kembali Aset 1MDB

TULAR:
9

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF):

MOF mengambil maklum tuntutan yang difailkan di Mahkamah Tinggi Singapura terhadap DBS Bank Ltd oleh empat syarikat yang sedang dalam proses pembubaran bersama pelikuidasi yang dilantik mahkamah, bagi menuntut ganti rugi kira-kira S$1.298 bilion (RM4.2 bilion) berhubung dana yang didakwa diseleweng daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd.

Menurut Pasukan Petugas Pemulihan Aset 1MDB, tuntutan tersebut melibatkan lima. akaun DBS yang dibuka pada tahun 2013 oleh empat syarikat berkenaan. Dokumen pembukaan akaun menamakan Tan Kim Loong, atau Eric Tan, sebagai pemilik benefisial tunggal syarikat-syarikat tersebut dan penandatangan bagi kelima-lima akaun berkenaan, yang didakwa telah digunakan untuk menyalurkan lebih AS$1 bilion dana 1MDB dan SRC yang diseleweng antara tahun 2013 hingga 2014.

“Usaha pemulihan ini bukan semata-mata soal menuntut kembali wang yang hilang. Amanah, keyakinan terhadap institusi serta martabat Malaysia di mata rakan-rakan antarabangsa turut tergadai dalam episod hitam negara ini. Justeru, Kerajaan berikhtiar memperteguh tatakelola dan kebertanggungjawaban institusi agar pengkhianatan sebesar ini tidak berulang,” kata YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.

Berdasarkan angka terkini, jumlah keseluruhan obligasi 1MDB yang ditanggung Kerajaan berjumlah RM51.4 bilion, merangkumi RM42.5 bilion yang telah dibayar Kerajaan serta baki hutang RM8.9 bilion. Sebanyak RM31.3 bilion diterima sebagai hasil pemulihan aset, menjadikan baki kerugian yang bakal ditanggung Kerajaan akibat skandal 1MDB mencecah RM20 bilion.

Usaha pemulihan tersebut melibatkan kerjasama dan proses perundangan di beberapa negara termasuk Amerika Syarikat, Switzerland, United Kingdom dan Singapura.

Antara pemulihan terbaharu ialah penyelesaian yang dicapai Kerajaan dengan JPMorgan Chase pada Ogos 2025, yang melibatkan sumbangan RM1.4 bilion ke dalam Akaun Amanah Pemulihan Aset Malaysia.

Dana yang diperoleh semula melalui akaun tersebut digunakan bagi membayar hutang dan memenuhi tanggungan kewangan sedia ada berkaitan 1MDB dan SRC, sekali gus mengurangkan beban ke atas kewangan awam.

SUMBER:
Facebook Rasmi MOF


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI