
Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak:
Merujuk kepada bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) Portal Rasmi Jabatan Alam Sekitar -Air Pollutant Index Management System (APIMS) yang direkodkan setakat jam 12.00 tengah hari, 13 September 2026 (Ahad) serta laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak memutuskan bahawa semua sekolah menengah dan sekolah rendah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Serian akan beroperasi seperti sediakala mulai 14 September 2026 (Isnin) manakala bagi sekolah-sekolah di bawah seliaan PPD Lubok Antu akan meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) selaras dengan peruntukan seperti yang terkandung dalam Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 Tahun 2016; Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana bertarikh 21 Julai 2016. Sebarang perubahan atau maklumat terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa. JPN Sarawak sentiasa menitikberatkan penjagaan kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid khususnya semasa menghadapi keadaan cuaca panas ataupun sebarang keadaan cuaca yang di luar jangkaan.
Ibu bapa/penjaga adalah dibenarkan untuk tidak menghantar anak bawah jagaan masing-masing ke sekolah sekiranya terdapat kebimbangan terhadap kesihatan anak-anak susulan keadaan jerebu yang masih melanda beberapa lokasi di Sarawak dengan membuat pemakluman kepada pihak sekolah.
JPN Sarawak amat mengambil berat tentang kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan seluruh warganya.
SUMBER:
Facebook Rasmi JPN Sarawak






