Makluman: JPA Buka Permohonan Program Dermasiswa B40 (DB40) Tahun 2026

TULAR:
3

Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA):

JPA membuka permohonan Program Dermasiswa B40 (DB40) Tahun 2026 kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Tahun 2025 daripada keluarga B40 yang berkelayakan bagi melanjutkan pengajian ke peringkat diploma di institusi pengajian tinggi dalam negara.

Program Dermasiswa B40 (DB40) merupakan inisiatif Kerajaan bagi memperluas akses kepada pendidikan tinggi kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah melalui tajaan berbentuk dermasiswa. Menerusi program ini, pelajar berpeluang melanjutkan pengajian diploma di Universiti Awam (UA), Politeknik, TVET MARA dan Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) terpilih dalam bidang-bidang strategik yang menyokong pembangunan modal insan negara.

Bidang pengajian yang layak dipohon adalah seperti berikut:

  • Kejuruteraan dan Teknologi;
  • Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET);
  • Sains Sosial dan Sastera;
  • Sains; serta
  • Seni Bina.

Permohonan dibuka mulai 3 Ogos 2026 (Isnin), jam 2.00 petang hingga 16 Ogos 2026 (Ahad), jam 5.00 petang menerusi Portal Penajaan JPA di https://penajaan.jpa.gov.my.

Bagi melayakkan diri, pemohon hendaklah memenuhi syarat-syarat berikut:

  • Warganegara Malaysia;
  • Menduduki peperiksaan SPM Tahun 2025 buat kali pertama;
  • Berumur di bawah 19 tahun atau di bawah 20 tahun bagi pelajar peralihan pada 31 Disember tahun peperiksaan diduduki;
  • Bebas daripada penyakit kronik atau penyakit berjangkit yang boleh menjejaskan pengajian; dan
  • Mempunyai pendapatan per kapita keluarga dalam kategori B40, iaitu RM5,249.00 sebulan dan ke bawah.

Di samping itu, ibu bapa dan/atau pemohon hendaklah tidak disenarai hitam oleh JPA atau sedang dalam tindakan undang-undang JPA. Semakan status senarai hitam boleh dibuat melalui sistem eSILA mulai 3 Ogos hingga 12 Ogos 2026.

JPA menggalakkan semua lepasan SPM Tahun 2025 yang memenuhi syarat kelayakan agar merebut peluang ini dengan mengemukakan permohonan dalam tempoh yang ditetapkan. Program Dermasiswa B40 merupakan antara usaha berterusan JPA dalam menyokong akses kepada pendidikan tinggi bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran dan berdaya saing.

SUMBER:

Facebook Rasmi JPA


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI