
SEBENARNYA,
Menurut Kementerian Pertahanan Malaysia (MINDEF):
Tentera Darat Malaysia (TDM) menafikan dakwaan yang tular di media sosial berhubung status pemberhentian bekas anggotanya, Staf Sarjan Vegeneswaran a/l Kaneson, dan menegaskan bahawa maklumat yang disebarkan adalah tidak berasas.
Menurut TDM, Mahkamah Rayuan menerusi keputusan pada 25 Mei 2023 hanya membatalkan tindakan pemberhentian terdahulu atas isu prosedur dan tidak mengembalikan status perkhidmatan individu berkenaan sebagai anggota Tentera Darat Malaysia (TDM). Susulan keputusan tersebut, TDM telah melaksanakan tindakan selaras dengan Peraturan-Peraturan Angkatan Tetap (Terma-Terma Perkhidmatan Bagi Angkatan Tetap) 2013, termasuk memberhentikan beliau secara biasa selepas tempoh perkhidmatan genap 18 tahun, dengan semua hak dan faedah yang layak telah dibayar mengikut peraturan yang berkuat kuasa.
TDM turut menjelaskan bahawa dakwaan bekas anggota tersebut masih berstatus anggota Tentera Darat adalah tidak benar. Status seseorang anggota ditentukan berdasarkan undang-undang dan rekod perkhidmatan, bukannya pemilikan atau penggunaan uniform rasmi. Mana-mana bekas anggota yang telah ditamatkan perkhidmatannya tidak lagi berhak menggunakan identiti atau pakaian seragam Tentera Darat bagi menggambarkan dirinya sebagai anggota yang masih berkhidmat.
Sehubungan itu, TDM menegaskan bahawa pihaknya sentiasa menghormati setiap keputusan mahkamah serta melaksanakan semua tindakan mengikut lunas undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa. Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak tepat kerana tindakan sedemikian boleh menimbulkan kekeliruan serta menjejaskan imej dan reputasi Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
SUMBER:






