
Menurut kenyataan Majlis Keselamatan Negara (MKN):
Kesiapsiagaan Kriptografi Pasca-Kuantum (Post-Quantum Cryptography PQC) merupakan inisiatif strategik Kerajaan Malaysia MADANI bagi memastikan data, maklumat, sistem, dan Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (National Critical Information Infrastructure NCII) kekal selamat dan berdaya tahan daripada ancaman teknologi pengkomputeran kuantum. Persediaan awal ini membolehkan peralihan dilaksanakan secara terancang demi memperkukuh keselamatan data dan maklumat Kerajaan, transaksi kewangan, identiti digital, komunikasi serta kesinambungan perkhidmatan kritikal negara.
Inisiatif strategik ini disokong secara komprehensif oleh pelbagai inisiatif nasional, antaranya Malaysia Cyber Security Strategy 2025-2030, Dasar Kriptografi Negara (MyKriptografi), Pelan Tindakan MyKriptografi 2026-2030, Arahan Ketua Eksekutif NACSA No. 9, Pelan Migrasi PQC Kebangsaan, pelaksanaan Program Proof-of-Concept PQC Inisiatif Sandbox Pelan Migrasi PQC Kebangsaan serta Program Kesedaran Migrasi PQC kepada entiti NCII.
Sehubungan dengan itu, Malaysia diiktiraf pada kedudukan Tier 1, tahap tertinggi penilaian dalam kesiapsiagaan migrasi PQC berdasarkan laporan ASEAN Post-Quantum Cryptography Readiness 2026: An Empirical Assessment of the ASEAN-10 bertarikh 1 September 2026. Pengiktirafan ini menobatkan Malaysia sebagai satu-satunya negara di rantau ASEAN yang mencapai tahap tersebut selaras dengan keberhasilan pembangunan dan pelaksanaan program migrasi PQC secara aktif.


Laporan tersebut telah diterbitkan oleh SITG-Consulting, sebuah firma penasihat bebas beribu pejabat di United Kingdom yang mempunyai kepakaran dalam risiko siber, tadbir urus kriptografi, daya tahan organisasi serta kesiapsiagaan PQC. Penilaian ini dibuat berasaskan bukti tindakan dan pelaksanaan peringkat nasional yang boleh disahkan secara terbuka, bukannya sekadar bergantung pada pernyataan hasrat atau kemajuan teknologi sesebuah negara.
Prestasi cemerlang ini mencerminkan keberkesanan hala tuju Kerajaan Malaysia MADANI yang digerakkan secara bersepadu oleh Majlis Keselamatan Negara dan Agensi Keselamatan Siber Negara menerusi kepakaran Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia di bawah Cyber Security and Cryptology Development Centre Berhad.
Bagi mendepani cabaran teknologi masa hadapan, Kerajaan Malaysia MADANI komited untuk terus memperkukuh pelaksanaan Pelan Migrasi PQC Kebangsaan agar NCII kekal selamat, berdaya tahan dan berdaulat. Langkah ini menuntut kerjasama berterusan bersama Ketua-Ketua Sektor NCII, entiti NCII dan pihak industri menerusi penyediaan inventori aset kriptografi, penilaian risiko, pembangunan keupayaan, pengujian teknologi dan pelaksanaan migrasi secara berperingkat seperti yang dirancang.
SUMBER:
Facebook Rasmi MKN






