
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
Berdasarkan maklumat awal yang diterima, penerbangan yang berlepas dari Miri dikendalikan oleh seorang (1) juruterbang dan membawa empat (4) orang petugas kesihatan KKM iaitu seorang Pegawai Perubatan, seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) dan dua (2) orang Jururawat yang sedang dalam tugas rasmi.
Setakat ini, status kesemua krew dan penumpang serta punca kejadian masih belum dapat dipastikan. Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) bersama pihak perubatan dan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) telah berada di lokasi kejadian berhampiran Lapangan Terbang (STOLport) Long Lellang, Sarawak dan operasi sedang giat dijalankan.
Pihak KKM sedang memantau situasi ini dengan sangat rapi dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa keselamatan, pasukan penyelamat, serta agensi penerbangan yang berkaitan bagi mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini dari lokasi kejadian. Pada masa yang sama, pihak kementerian sedang dalam proses menghubungi waris serta ahli keluarga mangsa yang terlibat bagi memberikan sokongan yang sewajarnya.
Memandangkan operasi SAR masih berjalan, KKM memohon kerjasama pihak media dan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih demi menghormati perasaan ahli keluarga mangsa.
Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dari semasa ke semasa setelah mendapat pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa. Sama-sama kita doakan agar segala urusan pencarian dan menyelamat dipermudahkan.
SUMBER:






