Makluman: Operasi Pembenihan Awan (OPA) 2026

TULAR:
6

Menurut kenyataan Malaysian Meteorological Department (MET):

Kerajaan terus mengambil langkah awal dan bersasar bagi menghadapi keadaan cuaca kering, kekurangan hujan serta risiko kemerosotan kualiti udara melalui Operasi Pembenihan Awan (OPA) sebagai salah satu langkah mitigasi dan intervensi kerajaan.

OPA memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan peluang hujan di kawasan sasaran dan kawasan tadahan, khususnya bagi membantu meningkatkan serta mengekalkan paras air empangan. Usaha ini penting bagi memastikan bekalan air untuk kegunaan domestik dan pengairan pertanian terus terjamin ketika berlakunya keadaan cuaca kering.

Sepanjang tahun 2026, OPA telah dilaksanakan di Perlis, Kedah, Perak, Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Sarawak dan Sabah tertakluk kepada kesesuaian keadaan atmosfera. Daripada operasi yang telah dilaksanakan, sekitar 90% telah berjaya menghasilkan hujan, sama ada di kawasan sasaran atau kawasan tadahan yang ditetapkan. Operasi turut membantu meningkatkan paras air di kebanyakan empangan yang disasarkan.

Pencapaian ini menunjukkan bahawa OPA boleh menjadi salah satu kaedah sokongan penting Kerajaan dalam pengurusan sumber air, khususnya ketika berlakunya tempoh kering dan kekurangan hujan. Keberkesanan kejayaan OPA bergantung kepada kewujudan awan yang sesuai dan keadaan atmosfera yang memenuhi kriteria teknikal. Justeru, setiap penerbangan dibuat berdasarkan penilaian saintifik dan analisa meteorologi MET Malaysia bagi mengoptimumkan peluang keberkesanan operasi.

Pelaksanaan OPA merupakan hasil kerjasama strategik antara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

NADMA bertanggungjawab menyelaras operasi serta menyediakan peruntukan, TUDM menyediakan pesawat dan sokongan penerbangan, manakala MET Malaysia menyediakan kepakaran serta khidmat teknikal, termasuk penilaian keadaan atmosfera dan kesesuaian awan. Sepanjang tahun 2026, pesawat TUDM Hercules C-130 M30-07 telah melaksanakan 35 penerbangan OPA antara 11 Februari hingga 21 Jun 2026.

Kerajaan akan terus mempertimbangkan pelaksanaan OPA berdasarkan keperluan dan kesesuaian keadaan atmosfera, termasuk sebagai salah satu langkah mitigasi menghadapi fenomena El Niño bagi membantu mengekalkan paras air empangan.

Selain pengurusan sumber air, OPA juga boleh dipertimbangkan sebagai langkah sokongan menghadapi episod jerebu, tertakluk kepada kewujudan awan yang sesuai dan keadaan atmosfera. Pelaksanaan bagi tujuan ini akan mengambil kira Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan (PTJK) serta tahap kualiti udara semasa.

Sebagai agensi di bawah Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), MET Malaysia memainkan peranan penting dalam memastikan setiap keputusan berkaitan OPA dibuat berdasarkan sains, data dan keadaan atmosfera sebenar.

Pada 3 September 2026, YBhg. Datuk Wira Anis Rizana binti Mohd Zainudin, Ketua Setiausaha NRES telah mengikuti secara langsung pelaksanaan OPA di kawasan utara Semenanjung Malaysia. Penglibatan ini penting untuk melihat sendiri proses operasi, memahami keperluan teknikal serta cabaran yang dihadapi oleh pasukan di lapangan. Pada masa yang sama, ia dapat memperkukuh penyelarasan antara NRES, MET Malaysia, NADMA dan TUDM bagi memastikan operasi dilaksanakan dengan lebih terancang, cekap dan berkesan.

Kerajaan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi kritikal sebelum bertindak. Setiap langkah yang boleh membantu melindungi sumber air, mengurangkan risiko kepada rakyat dan meningkatkan kesiapsiagaan negara perlu dipertimbangkan secara bersasar dan berasaskan bukti saintifik.

Kerajaan akan terus memantau keadaan cuaca, sumber air dan kualiti udara serta mengambil tindakan yang bersesuaian mengikut keperluan semasa bagi memastikan kepentingan dan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

SUMBER:

Facebook Rasmi MET


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI