Menteri Besar Negeri Sembilan Tegaskan Surat Cara Proklamasi Ditandatangani Tanpa Rela Hati

TULAR:
5


SEBENARNYA,

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Haji Ismail bin Lasim:

Menteri Besar Negeri Sembilan, YAB Dato’ Haji Ismail bin Lasim, menjelaskan bahawa dokumen Surat Cara Proklamasi yang tular dalam kenyataan media pada malam 8 September 2026 telah ditandatangani oleh beliau tanpa rela hati dan secara paksaan (duress).

Dalam kenyataan media bertarikh 9 September 2026, beliau berkata telah membuat laporan polis kira-kira jam 6 petang pada 8 September 2026 bagi membolehkan siasatan dijalankan oleh pihak berkuasa.

Kerajaan Negeri juga berpandangan bahawa Surat Cara Proklamasi tersebut tidak memenuhi proses dan tatacara yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Sehubungan itu, menurut kenyataan tersebut, dokumen berkenaan adalah tidak sah, tidak berperlembagaan dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Pada masa sama, Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan Bil. 5 Tahun 2026 yang bersidang pada 8 September 2026 turut membincangkan cadangan penubuhan sebuah Jawatankuasa Pendamai sebagai wadah untuk mencari penyelesaian isu adat secara harmoni, berhemah dan berlandaskan semangat muafakat.

Kerajaan Negeri turut merujuk kepada Perkara 71 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Persekutuan menjamin hak dan kedudukan Raja di sisi Perlembagaan.

Dalam kenyataan sama, Kerajaan Negeri menegaskan keperluan untuk mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan kemuliaan dan kedudukan DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan terus terpelihara.

Ismail turut menzahirkan sokongan penuh serta taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada DYMM Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir sebagai satu-satunya Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan berdaulat.

SUMBER:

Facebook Rasmi Menteri Besar Negeri Sembilan


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI