
Menurut kenyataan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES):
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) melalui Jabatan Alam Sekitar (JAS) menegaskan komitmen berterusan dalam memelihara kualiti udara negara demi kesejahteraan dan kesihatan awam.
Saya telah mengarahkan agar tiada lagi permohonan Lesen Pelanggaran (Licence to Contravene) baharu di bawah Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 (PUB 2014) akan dipertimbangkan berkuat kuasa serta-merta bagi memastikan penguatkuasaan penuh PUB 2014 bermula 1 Januari 2027.
PUB 2014 merupakan Peraturan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] telah dikuatkuasakan sejak 5 Jun 2014 bagi menggantikan PUB 1978 yang menetapkan bahawa semua industri yang tertakluk hendaklah mengawal pelepasan bahan pencemar mengikut nilai batas dan standard teknikal yang ditetapkan.
Kerajaan telah memberikan tempoh peralihan (grace period) selama 5 tahun sehingga 5 Jun 2019, diikuti beberapa siri pelanjutan tambahan bersyarat susulan permohonan pelbagai sektor industri yang masih gagal mematuhi peraturan ini. Tempoh pelanjutan tambahan tersebut telah tamat sepenuhnya pada Ogos 2026.
Sehingga kini, sebanyak 38 premis yang melibatkan Sektor Stesen Jana Kuasa Elektrik, Sektor Petrokimia dan Sektor Kilang Kelapa Sawit masih belum mematuhi PUB 2014 dan telah dipertimbangkan Lesen Pelanggaran. Kelonggaran sementara ini telah dipertimbangkan berdasarkan penilaian ketat oleh pihak JAS ke atas pelan tindakan terperinci premis industri berkaitan ke arah pematuhan penuh PUB 2014.
Selepas tempoh ini, JAS akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan dan Kerajaan juga sedang mempertimbangkan untuk mengenakan Fi Tambahan Lesen Pencemar Udara (FTLPU) terhadap premis industri yang masih gagal mencapai tahap pematuhan yang ditetapkan di bawah PUB 2014.
Kementerian menegaskan bahawa Lesen Pelanggaran tidak boleh dijadikan sebagai kelonggaran berterusan oleh pihak industri. Semua pengusaha industri digesa untuk segera mengambil langkah proaktif dalam menaik taraf Sistem Kawalan Pencemaran Udara (SKPU) masing-masing bagi mematuhi undang-undang yang berkuat kuasa demi menjamin kualiti udara yang selamat untuk generasi kini dan akan datang.
SUMBER:






