
Menurut kenyataan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB):
KTMB mengumumkan lanjutan perkhidmatan Shuttle Selatan bagi laluan Paloh – JB Sentral – Paloh mulai 8 Ogos 2026. Peluasan ini memperluaskan capaian pengangkutan awam rel kepada lebih ramai penduduk Johor serta menyediakan pilihan perjalanan harian yang lebih mudah dan selesa, khususnya bagi pengguna yang bekerja di Johor Bahru dan berulang-alik ke Singapura.
Perkhidmatan Shuttle Selatan telah diperkenalkan pada 16 Jun 2026 menerusi dua laluan awal, iaitu Kulai JB Sentral Kulai dan Kempas Baru Pasir Gudang-Kempas Baru. Sebagai kesinambungan kepada pelaksanaan tersebut, lanjutan perkhidmatan Shuttle Selatan ke Stesen Layang-Layang, Renggam, Kluang dan Paloh merupakan inisiatif strategik Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk menghubungkan kawasan pinggir bandar secara terus dengan hab ekonomi utama di Kulai dan JB Sentral.
Peluasan yang dilaksanakan dalam tempoh kurang tiga bulan sejak fasa awal itu akan merentasi koridor tengah Johor menerusi pemanfaatan sebahagian jajaran Projek Landasan Berkembar Elektrik (PLBEGJB) Gemas-Johor Bahru. Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan Kerajaan dan KTMB untuk memperkasa mobiliti rakyat dengan capaian perkhidmatan yang lebih meluas.
Capaian Lebih Luas Dari Paloh Ke JB Sentral
Laluan yang dilanjutkan ini akan memberi perkhidmatan kepada tujuh (7) stesen, iaitu Paloh, Kluang, Renggam, Layang-Layang, Kulai, Kempas Baru dan JB Sentral. Perjalanan dari Paloh ke JB Sentral mengambil masa kira-kira 120 minit, sekali gus menyediakan alternatif perjalanan yang lebih teratur kepada penduduk di daerah Kluang, dan Kulai untuk menuju ke pusat bandar Johor Bahru.
Secara keseluruhan, jajaran Shuttle Selatan yang merangkumi daerah Kluang, Kulai, Pasir Gudang dan Johor Bahru berpotensi memberi manfaat kepada sekitar 2.5 juta penduduk setempat berdasarkan Anggaran Penduduk Semasa 2025 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Sejak diperkenalkan perkhidmatan ini, ia telah merekodkan seramai 3,209 penumpang bagi laluan Kulai – JB Sentral Kulai dan Kempas Baru – Pasir Gudang Kempas Baru. Pencapaian ini mencerminkan sambutan positif masyarakat terhadap penyediaan pilihan pengangkutan awam rel yang lebih mudah, selesa dan berdaya harap.
Perkhidmatan ini menawarkan 10 perjalanan sehari, merangkumi lima (5) perjalanan dari Paloh ke JB Sentral dan lima (5) perjalanan dari JB Sentral ke Paloh. Setiap perjalanan menawarkan kapasiti sehingga 400 penumpang.
Perjalanan terawal dari Paloh akan bertolak pada jam 3.55 pagi dan tiba di JB Sentral pada jam 5.52 pagi, manakala perjalanan terakhir dari JB Sentral akan bertolak pada jam 8.30 malam dan tiba di Paloh pada jam 10.27 malam. Susunan jadual awal pagi dan malam ini dirangka bagi menyokong keperluan pengguna harian, termasuk pekerja yang meneruskan perjalanan ke Singapura melalui pintu masuk sempadan di Johor Bahru.
Perjalanan Bersepadu Dan Hubungan Ke Pasir Gudang
Penyelarasan perjalanan turut disediakan bagi membolehkan pengguna membuat pertukaran di Stesen Kempas Baru untuk meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan Shuttle Selatan bagi laluan Kempas Baru Pasir Gudang – Kempas Baru.
Integrasi ini memperkukuh hubungan antara koridor Paloh Kluang Kulai – Johor Bahru dengan kawasan perindustrian Pasir Gudang, sekali gus memudahkan pergerakan tenaga kerja dan komuniti antara kawasan pertumbuhan utama di selatan Johor.
Tambang Promosi Dan Inisiatif Mesra Rakyat
Selaras dengan lanjutan perkhidmatan ini, kadar tambang promosi turut diperluaskan dan boleh dinikmati oleh pengguna Shuttle Selatan sehingga tren elektrik baharu diterima. Sebagai contoh, tambang Paloh-JB Sentral yang ditetapkan pada kadar RM15.30 ditawarkan pada harga promosi RM7.70 bagi perjalanan sehala. Kadar tambang adalah berdasarkan stesen permulaan dan stesen akhir.
Tambahan dari itu, bagi penggunaan Kad Komuter Madani Shuttle Selatan (sebanyak 3,000 unit yang telah diedarkan) juga turut terpakai disepanjang jajaran Shuttle Selatan ini sehingga 16 September 2026.
Pas MyRailLife turut dilanjutkan untuk perkhidmatan Shuttle Selatan mulai 8 Ogos hingga 31 Disember 2026. Pas perjalanan percuma ini memberi manfaat kepada kanak-kanak berumur empat (4) hingga enam (6) tahun, pelajar sekolah Tahun 1 hingga Tingkatan 6 serta Orang Kurang Upaya (OKU), tertakluk kepada terma dan syarat yang ditetapkan.
Pelaksanaan inisiatif ini dijangka dapat mengurangkan kos perjalanan pengguna, meningkatkan akses kepada perkhidmatan rel, menggalakkan penggunaan pengangkutan awam serta menyokong pertumbuhan jumlah penumpang Shuttle Selatan.
Memperkasa Mobiliti Rakyat Dan Pertumbuhan Johor
Peluasan Shuttle Selatan memperlihatkan komitmen Kerajaan MADANI dan KTMB untuk menyediakan sistem pengangkutan awam yang lebih inklusif, selamat, cekap dan mampan. KTMB akan terus mengoptimumkan penggunaan aset sedia ada, menyelaras jadual perjalanan serta meningkatkan kesalinghubungan antara perkhidmatan bagi memastikan manfaat pengangkutan rel dapat dinikmati oleh lebih ramai rakyat.
Inisiatif ini turut menyokong pergerakan tenaga kerja, aktiviti ekonomi serta perkembangan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ). Dengan akses rel yang semakin luas ke JB Sentral, pekerja dari Paloh, Kluang, Renggam, Layang-Layang, Kulai dan kawasan sekitarnya mempunyai pilihan perjalanan yang lebih praktikal untuk ke Johor Bahru dan meneruskan perjalanan ke Singapura, di samping membantu mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian.
SUMBER:






