
Menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN):
Majlis Penyerahan Fleet Card SmartPay PETRONAS di Kepayan, Kota Kinabalu hari ini melibatkan sebahagian syarikat-syarikat pengangkutan darat barangan yang telah mendapat kelulusan pendaftaran Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan menerima fleet card untuk kenderaan berdaftar.
Sebagaimana yang telah diumumkan, pendaftaran bagi permohonan menyertai SKDS untuk pelaksanaan penyaluran subsidi bahan api diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan telah diperluaskan ke Sabah, Sarawak dan WP Labuan bermula 4 Mei 2026. Manakala, penyaluran subsidi bahan api bagi sektor pengangkutan darat awam telah dibuka sejak bulan Jun 2024.
Pendaftaran melalui SKDS akan membolehkan syarikat-syarikat yang berkelayakan terus mendapat manfaat subsidi diesel melalui mekanisme fleet card pada kadar RM2.15 seliter bagi sektor pengangkutan darat barangan dan RM1.88 seliter bagi sektor pengangkutan darat awam.
Penggunaan wajib fleet card SKDS untuk mendapat manfaat subsidi diesel bagi sektor pengangkutan darat barangan dan awam akan dikuatkuasakan pada satu masa yang akan diumumkan. Sehubungan itu, syarikat-syarikat bagi kedua-dua sektor ini adalah digesa untuk membuat pendaftaran SKDS pada kadar segera. Ini adalah penting untuk membolehkan kenderaan-kenderaan syarikat yang tersenarai di bawah 33 jenis kenderaan yang layak didaftarkan di bawah SKDS terus boleh menerima subsidi diesel. Senarai jenis kenderaan dan permohonan pendaftaran menyertai SKDS boleh dirujuk melalui portal MySubsidi di pautan https://mysubsidi.kpdn.gov.my.
Perluasan SKDS merupakan pendekatan untuk menangani isu ketirisan subsidi bahan api diesel melalui mekanisme pemantauan dan penguatkuasaan secara digital. Mekanisme penggunaan fleet card dalam pelaksanaan SKDS ini adalah untuk memastikan subsidi dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh kumpulan sasar. Ini sekali gus mengekang ketirisan subsidi diesel sama ada melalui aktiviti penyeludupan, penyelewengan dan penyalahgunaan subsidi oleh warga asing dan pendatang tanpa izin.
Bagi Sabah dan Sarawak, Kerajaan telah membelanjakan sebanyak RM2 bilion setahun untuk subsidi diesel di Sabah dan Sarawak pada tahun 2025. Untuk tahun 2026, subsidi diesel yang ditanggung oleh Kerajaan terus meningkat akibat daripada krisis tenaga susulan konflik Asia Barat. Pada dua bulan pertama 2026 iaitu sebelum tercetusnya konflik, subsidi diesel yang dibelanjakan untuk Sabah dan Sarawak ialah RM103 juta bagi bulan Januari dan RM106 juta bagi bulan Februari.
Namun, sejak bermulanya konflik pada 28 Februari 2026, implikasi subsidi diesel bagi kedua-dua wilayah ini telah mencecah RM563 juta bagi bulan Mac dan RM647 juta bagi bulan April. Jumlah keseluruhan subsidi diesel untuk tempoh empat bulan pertama hingga April 2026 telah mencecah RM1.4 bilion. Kerajaan akan terus menanggung lonjakan bil subsidi bahan api ini selagi mana harga minyak dunia masih pada tahap yang tinggi dan krisis tenaga berlarutan.
Kerajaan komited untuk terus menyalurkan subsidi diesel kepada rakyat dan industri secara bersasar sebagai langkah intervensi dan mitigasi bagi menangani isu kenaikan kos sara hidup dan pergerakan harga barangan dan perkhidmatan. Pada masa yang sama, penyaluran subsidi secara bersasar perlu dilaksanakan sebagai mekanisme pengurusan risiko ketirisan, selain meningkatkan ketegasan penguatkuasaan.
SUMBER:






