Makluman: Sabah Catat Penurunan 5.9 Kadar Penagih dan Penyalah Guna Dadah

TULAR:
5

Menurut Agensi Antidadah Kebangsaan Malaysia (AADK):

Negeri Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 5.9 peratus kadar penagih dan penyalah guna dadah atau bahan bagi tahun 2025, sekali gus mencerminkan keberkesanan usaha bersepadu pelbagai pihak dalam menangani isu penyalahgunaan dadah.

Berdasarkan statistik, jumlah individu yang dikesan menurun daripada 9,207 orang pada tahun 2024 kepada 8,665 orang pada tahun 2025, sekali gus meletakkan Sabah antara negeri dengan pencapaian terbaik dalam negara.

Perkara ini dimaklumkan dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) Peringkat Negeri Sabah Bilangan 1 Tahun 2026 yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji bin Haji Noor.

Dalam usaha memastikan momentum ini berterusan ke arah sasaran Dadah Terkawal 2030, mesyuarat tersebut turut meluluskan beberapa inisiatif penting termasuk perluasan Program Tempat Kerja Bebas Dadah (TEKAD) serta Pemerkasaan SKUAD Antidadah Membangun Komuniti Berdaya Tahan.

Selain itu, pelaksanaan Program Kampung Aspirasi Bebas Dadah (KABD) yang memfokuskan kepada Kampung Likas, Kota Kinabalu dan Kampung Benoni, Papar turut menjadi langkah proaktif dalam mendekati masyarakat di peringkat akar umbi.

Pendekatan holistik melalui konsep “Top-Down” dan “Bottom-Up” terus digerakkan bagi memastikan usaha pencegahan, rawatan dan pemulihan dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan.

Kejayaan ini bukan sekadar penurunan angka, tetapi melambangkan perubahan positif dalam masyarakat serta hasil komitmen berterusan semua pihak dalam membendung ancaman dadah.

Turut hadir ialah Menteri Wanita, Kesihatan Dan Kesejahteraan Rakyat Negeri Sabah, YB Datuk Julita Majungki; Pembantu Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat

Negeri Sabah, YB. Datuk Rina binti Hj. Jainal; Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah, YB Datuk Seri Panglima Sr. Haji Safar bin Untong; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; Ketua Pengarah AADK, Dato’ Ruslin Jusoh, Pengarah AADK Negeri Sabah, Puan Elmariah Chung disertai ketua-ketua jabatan dan agensi melibatkan kerajaan pusat dan kerajaan negeri.

SUMBER:

Facebook Rasmi AADK

Instagram Rasmi AADK

X Rasmi AADK


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI