Makluman Projek Pembinaan Infrastruktur Sabo di Lembangan Sungai Kupang, Baling, Kedah

TULAR:
4

Menurut Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA):

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited dalam menjamin kesejahteraan rakyat melalui pelaksanaan infrastruktur tebatan banjir yang efektif serta memperkukuh sistem bekalan air di negeri Kedah.

Yang Berhormat Dato’ Sri Abdul Rahman bin Haji Mohamad, Timbalan Menteri PETRA hari ini mengadakan lawatan untuk meninjau perkembangan pelaksanaan fizikal projek Pembinaan Infrastruktur Sabo di Lembangan Sungai Kupang, Baling, Kedah, Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Baling Fasa 1 (Kerja-Kerja Menaiktaraf Sungai Kupang (Melebar Dan Mendalam), Menaiktaraf Struktur Lintasan, Pembinaan Ban Dan Kerja-Kerja Berkaitan) serta Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau.

Projek Pembinaan Infrastruktur Sabo di Lembangan Sungai Kupang yang telah siap sepenuhnya pada Disember 2025 dengan kos keseluruhan RM26.32 juta. Projek ini telah disiapkan dua belas (12) bulan (setahun) lebih awal daripada jadual. Pelaksanaan projek ini adalah sebagai langkah mitigasi khusus bagi menangani ancaman fenomena kepala air, banjir lumpur dan aliran puing yang berisiko tinggi di kawasan hulu Sungai Kupang. Skop projek merangkumi pembinaan dua (2) struktur sabo, kerja-kerja pengaluran sungai, penstabilan tebing sungai, pembinaan laluan penyelenggaraan serta pemasangan sistem pemantauan dan amaran awal.

Pelaksanaan projek ini dijangka memberi perlindungan kepada lebih 5,000 penduduk dan kawasan seluas kira-kira 4,200 hektar, sekali gus mengurangkan risiko kemusnahan akibat kejadian kepala air dan banjir lumpur yang boleh mengancam keselamatan nyawa serta menjejaskan aktiviti sosioekonomi penduduk setempat.

Dalam lawatan yang sama, Timbalan Menteri turut meninjau Projek RTB Baling Fasa 1 bernilai RM15 juta yang merupakan antara inisiatif utama Kerajaan bagi mengurangkan risiko banjir yang kerap berlaku di kawasan Pekan Kupang dan sekitarnya. Projek yang dijangka siap sepenuhnya pada Mei 2027 ini melibatkan kerja-kerja menaik taraf Sungai Kupang sepanjang 4.4 kilometer, pembinaan kolam takungan banjir, pembinaan ban dan tembok perlindungan banjir, penaiktarafan struktur lintasan serta kerja-kerja berkaitan bagi meningkatkan kapasiti sistem saliran dan aliran sungai.

Setelah siap kelak, projek ini dijangka memberi manfaat kepada lebih 5,000 penduduk di kawasan sekitar dengan mengurangkan risiko banjir, meningkatkan tahap keselamatan komuniti serta melindungi harta benda dan infrastruktur awam.

Kedua-dua projek di atas dilaksanakan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sementara itu, Projek Menaiktaraf Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau dengan kos sebanyak RM147.78 juta adalah antara inisiatif strategik Kerajaan bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran air terawat agar keperluan semasa dan masa hadapan penduduk di Daerah Kuala Muda serta kawasan sekitarnya dapat dipenuhi. Hal ini selaras dengan usaha Kerajaan dalam memastikan bekalan air yang mencukupi, berkualiti dan mampan kepada rakyat. Projek ini merupakan projek geran langsung Kerajaan Persekutuan di bawah PETRA dan dilaksanakan oleh JKR Negeri Kedah.

PETRA akan terus memperkukuh pelaksanaan projek-projek tebatan banjir, mitigasi bencana air dan keperluan air terawat di seluruh negara selaras dengan usaha Kerajaan untuk meningkatkan daya tahan negara terhadap impak perubahan iklim serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

Usaha ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan aspek kemampanan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat melalui pembangunan infrastruktur yang berdaya tahan dan inklusif.

SUMBER:

Facebook Rasmi PETRA

Instagram Rasmi PETRA

X Rasmi PETRA


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI