
Menurut kenyataan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM):
KPWKM ingin mengingatkan orang ramai, khususnya para pembekal, agar berwaspada terhadap kegiatan penipuan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menggunakan nama pegawai KPWKM untuk mendapatkan wang melalui tempahan makanan, minuman dan cenderahati bagi program rasmi kerajaan yang sebenarnya tidak wujud.
Sehingga kini, aduan yang diterima melibatkan kerugian ribuan ringgit. Dalam kegiatan tersebut, pihak penipu menyamar sebagai wakil syarikat yang kononnya telah menerima tempahan melalui Pesanan Kerajaan yang dikeluarkan oleh pegawai KPWKM. Pembekal kemudiannya diminta membuat pembayaran bagi mendapatkan kontrak atau mengesahkan tempahan berkenaan.
KPWKM menegaskan bahawa semua urusan perolehan oleh Kementerian hanya dilaksanakan melalui Pesanan Kerajaan menerusi Sistem ePerolehan, selaras dengan tatacara kewangan yang berkuat kuasa.
KPWKM tidak pernah meminta pembekal membuat sebarang bayaran kepada pegawai, individu atau pihak ketiga bagi mendapatkan kontrak atau mengesahkan sesuatu tempahan.
Sehubungan itu, KPWKM menyeru semua pihak, khususnya para pembekal, agar sentiasa berwaspada dan menyemak kesahihan setiap Pesanan Kerajaan melalui Sistem ePerolehan. Pembekal juga dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang pembayaran kepada individu atau pihak ketiga yang menggunakan nama KPWKM serta tidak terpedaya dengan tawaran tempahan atau kerjasama di luar saluran rasmi. Sebarang tawaran atau permintaan pembayaran yang mencurigakan hendaklah segera dilaporkan kepada pihak berkuasa.
SUMBER:






