
Menurut Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT):
Kehadiran pelajar antarabangsa di institusi pendidikan tinggi (IPT) Malaysia sering menjadi perhatian masyarakat. Namun, berdasarkan penjelasan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), kemasukan pelajar antarabangsa tidak menjejaskan peluang pelajar tempatan, malah memberi pelbagai manfaat kepada universiti dan ekosistem pendidikan tinggi negara.
Pelajar antarabangsa yang mengikuti pengajian di Malaysia membayar yuran pengajian sepenuhnya tanpa menerima subsidi kerajaan. Mereka juga perlu memenuhi syarat kemasukan dan melalui proses pemilihan yang sama seperti pelajar tempatan. Selain menyumbang kepada kedudukan kewangan universiti, kehadiran mereka turut membantu memperkukuh kemudahan pembelajaran, penyelidikan serta kerjasama akademik di peringkat antarabangsa. Di samping itu, interaksi bersama pelajar dari pelbagai negara mewujudkan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan memberikan pendedahan global kepada mahasiswa tempatan.
Malaysia terus menjadi destinasi pilihan pelajar dari lebih 180 negara, termasuk China, hasil pengiktirafan terhadap kualiti sistem pendidikan tinggi negara, kos pengajian dan sara hidup yang berpatutan, masyarakat yang majmuk serta penggunaan Bahasa Inggeris yang meluas dalam pembelajaran. KPT turut menegaskan bahawa agenda pengantarabangsaan pendidikan tinggi dilaksanakan secara strategik tanpa menjejaskan hak, peluang dan masa depan pelajar Malaysia.
Berdasarkan data rasmi KPT sehingga 31 Disember 2025, pelajar antarabangsa hanya mewakili 12.6% daripada keseluruhan enrolmen di institusi pendidikan tinggi awam dan swasta. Di universiti awam pula, jumlah mereka hanyalah 8.9% daripada keseluruhan enrolmen. Bagi program prasiswazah, pelajar antarabangsa hanya merangkumi 3.44% daripada jumlah keseluruhan pelajar, sekali gus menunjukkan bahawa majoriti tempat masih diperuntukkan kepada pelajar Malaysia. Sebaliknya, sebahagian besar pelajar antarabangsa mengikuti pengajian di peringkat pascasiswazah.
Di lima Universiti Penyelidikan (RU), seramai 78% daripada keseluruhan enrolmen terdiri daripada pelajar tempatan. Kebanyakan pelajar antarabangsa di universiti berkenaan pula mengikuti program pascasiswazah bagi menyokong aktiviti penyelidikan, inovasi dan kerjasama akademik antarabangsa.
KPT turut menolak dakwaan bahawa kemasukan pelajar antarabangsa telah mengurangkan peluang pelajar tempatan untuk memasuki universiti awam. Menurut kementerian, dasar pengantarabangsaan pendidikan tinggi telah dilaksanakan secara konsisten sejak lebih dua dekad sebagai usaha meningkatkan daya saing universiti Malaysia di peringkat global.
Mekanisme kemasukan bagi pelajar tempatan dan pelajar antarabangsa adalah berbeza. Program prasiswazah memberi keutamaan kepada pelajar tempatan, manakala pelajar antarabangsa diterima berdasarkan prinsip over and above. Bagi program pascasiswazah pula, kemasukan terbuka kepada semua calon yang memenuhi syarat akademik serta bergantung kepada kapasiti penyelidikan universiti. Justeru, dakwaan bahawa pelajar antarabangsa mengambil tempat pelajar tempatan adalah tidak tepat kerana pelaksanaan dasar kemasukan ke institusi pendidikan tinggi negara mengambil kira keutamaan kepada pelajar tempatan di peringkat prasiswazah, sementara kemasukan pelajar antarabangsa dilaksanakan mengikut mekanisme yang berbeza.
SUMBER:






