Minuman Dalam Bekas Tin Susu Kitar Semula Adalah Tidak Selamat?

TULAR:
2514

PENJELASAN:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memperjelaskan isu penggunanaan tin susu kitar semula untuk minuman di sebuah kedai makan di Pulau Pinang.

Sumber gambar: Facebook

Menurut kenyataan rasmi KKM:

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil maklum mengenai isu minuman dalam tin kitar semula yang tular di media sosial. Isu ini timbul apabila sebuah kedai makan di Pulau Pinang dipercayai menghidangkan minuman kepada pelanggan menggunakan bekas tin susu (krimer manis) yang dikitar semula.

Penggunaan tin bekas susu dan tin-tin lain yang dikitar semula bagi tujuan penyediaan minuman boleh memberikan risiko kepada pengguna. Kebersihan tin kitar semula adalah diragui kerana sukar dibersihkan dengan sempurna disebabkan rekabentuk tin tersebut dan kemungkinan terdapat permukaan tin yang kemek. Di samping itu, ia boleh mencederakan pengguna semasa minum disebabkan permukaan tin yang tajam.

Peraturan 27, Peraturan-Peraturan Makanan 1985 melarang penggunaan apa-apa bungkusan yang boleh mengeluarkan bahan beracun, merosakkan atau mencacatkan atau yang membantu dalam pemerosotan kualiti makanan. Di bawah Seksyen 13, Akta Makanan 1983, sesiapa yang menyedia atau menjual apa-apa makanan yang di dalamnya mengandungi bahan yang memudaratkan kesihatan adalah melakukan kesalahan dan jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi sepuluh (10) tahun atau kedua-duanya.

Sehubungan itu, KKM menasihatkan supaya orang ramai khususnya peniaga makanan menghentikan penggunaan tin yang dikitar semula dalam penyediaan minuman kerana tin tersebut bukan bertujuan untuk penghidangan minuman. Peniaga hendaklah menggunakan bekas minuman yang bersesuaian dengan jenis minuman yang hendak dihidangkan bagi mengelakkan pencemaran makanan dan bahaya kepada kesihatan.

SUMBER:

Laman Rasmi KP Kesihatan


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI