PENJELASAN:
PLUS Malaysia Berhad (PLUS) menjelaskan pembukaan lorong kecemasan pada musim perayaan Tahun Baru Cina hanya membabitkan dua lokasi kritikal dan bukan sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan.
Menurut PLUS, lokasi itu adalah dari Simpang Pulai hingga Gopeng (KM287-KM295.1) dan dari Slim River hingga Sungkai (dari KM367.6-KM360.5), kedua-duanya sepanjang tujuh kilometer.
PLUS memaklumkan pembukaan lorong kecemasan bertujuan melancarkan perjalanan orang ramai dan ia hanya diputuskan selepas PLUS dan polis membuat penilaian keselamatan di kedua-dua lokasi.
“Pembukaan hanya dikhususkan pada hari jumlah trafik tinggi dan kesesakan trafik kritikal serta selepas mendapat kebenaran polis di lokasi. Pembukaan lorong kecemasan ini juga hanya akan diadakan selepas semua papan tanda keselamatan, trak tunda (jika berlaku kemalangan) serta anggota keselamatan bersedia di lokasi.”
Langkah menggunakan lorong kecemasan bertujuan untuk meningkatkan kapasiti trafik di laluan utama, laluan lebih lancar seterusnya mengurangkan risiko kesesakan dan kemalangan.
“Langkah menggunakan lorong kecemasan ini akan dihentikan jika keadaan keselamatan di lokasi tergugat pada bila-bila masa saja.”