Pada 7/6/2020 jam 10.30 malam Pegawai Pemerintah Maritim Operasi PDRM Langkawi telah menerima maklumat berkenaan akan terdapat cubaan menceroboh perairan Langkawi oleh bot Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) Rohingya.
Hasil dari maklumat ini sebuah bot RH 9 dari Pasukan Polis Marin dan Kapal Maritim (KM) Kimanis dari Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia telah diatur gerak ke kawasan terlibat untuk melaksanakan operasi pemantauan dan pengusiran. Pada 8/6/2020 jam 5.00 pagi KM Kimanis telah berjaya mengesan lokasi serta memintas bot tersebut di perairan Langkawi dan bersedia melaksanakan proses pengusiran bot tersebut ke perairan antarabangsa. Ketika KM Kimanis menghampiri bot tersebut seramai 53 orang PATI Rohingya telah terjun ke laut berenang menuju ke pantai dan kesemua mereka telah berjaya ditahan oleh pihak APMM yang telah bersedia di daratan. Ketika pemeriksaan ke atas bot dijalankan didapati seramai 216 orang PATI Rohingya dan seorang mayat PATI wanita dijumpai di dalam bot tersebut. Pemeriksaan juga mendapati kesan bot telah sengaja dibocorkan dan enjin bot tersebut juga mengalami kerosakan yang teruk dan tidak dapat dibaiki. Kerosakan yang dialami oleh bot tersebut menyebabkan tindakan pengusiran tidak dapat dilakukan. KM Kimanis telah memberikan bantuan berupa makanan dan air bersih yang secukupnya kepada PATI berkenaan.
Atas dasar kemanusiaan Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membenarkan bot berkenaan ditunda ke Jeti Teluk Ewa Langkawi. Kesemua 269 orang PATI kini ditahan dan diletakkan sementara di Kem Bina Negara Wawasan Langkawi. Manakala 1 mayat PATI wanita yang dijumpai telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.
National Task Force (NTF) yang melaksanakan Op Benteng secara bersepadu yang melibatkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan agensi-agensi penguatkuasaaan dan keselamatan yang lain komited dalam memastikan sempadan perairan dan daratan negara tidak dicerobohi oleh PATI atau anasir asing demi memelihara kedaulatan dan kesejahteraan negara. Sehingga 7/6/2020 seramai 396 orang PATI, 108 orang Tekong dan 11 orang penyeludup telah ditahan, manakala seramai 140 PATI, 6 orang Tekong dan 22 buah bot telah diusir ketika cuba mencerobohi sempadan negara.
Masyarakat digesa untuk terus memberi kerjasama dalam menyalurkan sebarang maklumat berkenaan dengan aktiviti anasir asing samada melibatkan PATI, aktiviti penyeludupan, pencerobohan sempadan atau sebarang aktiviti jenayah rentas sempadan melalui talian hotline Pusat Operasi NTF (011-6251 1223). Kerjasama daripada semua pihak adalah amat dihargai dalam usaha memastikan operasi ini dapat dilaksanakan dengan jayanya.