WASPADA:
Orang ramai dinasihatkan supaya menyimpan salinan transaksi pembelian barang dan perkhidmatan dalam talian supaya boleh digunakan sebagai bukti, jika berlaku penipuan.
Menurut Ketua Penolong Pengarah, Cawangan Operasi Khas Bahagian Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Aminuddin Muhammad, walaupun mangsa tampil membuat aduan berlakunya penipuan, tindakan selanjutnya sukar diambil jika transaksi yang dibuat gagal untuk dibuktikan.
“Apabila kita ingin beli barang dan perkhidmatan dalam talian, kita letakkan diri kita sebagai seseorang yang mungkin akan ditipu, pertama sekali kenal pasti ‘domain’ yang menjual barang berkenaan, pastikan ia boleh dipercayai.
“Kemudian, rakam gambar skrin barang atau perkhidmatan yang ingin dibeli dan bukti pembayaran kepada penjual, kenal pasti juga butiran penjual seperti nombor telefon dan nama bank yang terbabit, kemudian simpan sehingga barang diterima.
“Apabila ada semua perkara ini, ia dapat dijadikan sebagai bukti dalam Tribunal Tuntutan Pengguna. Jika tiada bukti, amat sukar untuk kita ambil tindakan terhadap pihak yang didakwa melakukan penipuan.”