WASPADA :
Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan panggilan telefon dari individu yang menyamar sebagai pegawai Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengingatkan agar semua kontraktor binaan di seluruh negara berwaspada dengan individu-individu yang menyamar sebagai pegawai penguasa CIDB.
Modus operandi baru sindiket penipuan ini adalah mengenal pasti syarikat kontraktor yang sedang menjalankan kerja-kerja pembinaan kemudian menghubungi pengurus projek binaan tersebut dengan menyatakan mereka mempunyai bukti tentang kesalahan yang dilakukan syarikat berkenaan.
Individu yang menyamar sebagai pegawai penguasa CIDB itu kemudiannya mengarahkan kontraktor terbabit supaya mengeluarkan sejumlah besar bayaran, kononnya untuk meluluskan permohonan segera Kad Hijau pekerjanya atau dikenakan kompaun lebih tinggi mengikut Akta 520 (Pindaan 2011) CIDB.
CIDB mengingatkan kontraktor dan personel binaan bahawa sebarang pembayaran kepada CIDB hanya boleh dilakukan di kaunter pejabat negeri atau cawangan CIDB ataupun melalui akaun CIDB.
SUMBER :
Laman web Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB)