Video Individu Yang Menyamar Sebagai Pegawai JPJ ?

TULAR:
1110

PENJELASAN :

Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) memperjelaskan dakwaan pengakuan seorang individu yang mengaku sebagai pegawai JPJ  melalui sebuah video seperti yang hangat diperkatakan di media sosial.

Sumber gambar : Harian Metro

Menurut kenyataaan rasmi Jabatan Pengangkutan Jalan(JPJ) :

JPJ adalah dengan ini menafikan pengakuan seorang individu yang mengaku sebagai pegawai JPJ seperti yang tular di media sosial baru-baru ini.

Sementara itu, beberapa siri video yang tular turut merakam pengakuan individu tersebut mengaku sebagai pegawai JPJ apabila diasak pelbagai soalan berkaitan perbuatannya yang dipercayai meletak kenderaan di tempat menunggu penumpang (teksi).

Sehubungan itu, pihak JPJ telah melakukan siasatan dan mengesahkan bahawa individu tersebut  bukanlah seperti yang dinyatakan. Satu laporan polis telah dibuat ke atas tindakan tersebut yang boleh mencemarkan perkhidmatan awam khususnya JPJ.

Oleh yang demikian, JPJ ingin mengesahkan bahawa individu serta kenderaan tersebut adalah tiada kaitan langsung dengan JPJ. Pihak JPJ memandang serius perkara ini dan berharap tidak berulang lagi di masa hadapan.

Selain itu, orang ramai turut dinasihati agar tidak mudah mempercayai dan terpengaruh dengan sebarang berita dan isu yang tidak benar tanpa mendapatkannya daripada sumber yang sah.

SUMBER :
Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI