Menurut kenyataan Media Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Polis Diraja Malaysia (PDRM):
NSRC atau National Scam Response Center adalah pusat panggilan yang berperanan sebagai pusat operasi untuk menyelaras tindak balas pantas terhadap penipuan kewangan dalam talian terutama untuk mengesan wang yang telah dipindahkan berpunca kes penipuan dalam talian. Kewujudan pusat panggilan ini bagaimanapun dikesan telah dimanipulasi oleh sindiket penipuan melalui kegiatan penyamaran sebagai pegawai NSRC bagi tujuan memperdaya mangsa.
Dalam kes-kes ini, mangsa akan menerima panggilan dari individu yang mendakwa pegawai dari NSRC. ‘Pegawai’ tersebut kemudiannya memaklumkan pihak NSRC akan membatalkan nombor telefon mangsa ekoran terdapat aduan bahawa nombor telefon mangsa telah digunakan dalam aktiviti penipuan.Untuk tujuan siasatan, panggilan kemudiannya akan disambungkan kepada individu lain yang menyamar sebagai pegawai polis. Mangsa akan diarahkan mengikut segala arahan yang diberikan sehinggalah mangsa membuat pindahan wang ke akaun bank yang ditetapkan dan seterusnya mengalami kerugian.
Adalah diingatkan, NSRC adalah pusat panggilan yang hanya menerima panggilan daripada orang ramai. Ianya adalah berbentuk komunikasi sehala sahaja. NSRC tidak akan membuat panggilan kepada mana-mana individu. Justeru, sebarang panggilan yang kononnya dari pihak NSRC adalah satu penipuan.
Artikel Terdahulu 23 Januari 2024
Artikel Terdahulu 22 November 2023