WASPADA:
Orang ramai dinasihatkan supaya berhati-hati dengan produk tradisional Pak Li Medicated Plaster yang telah dikesan mengandungi racun berjadual diphenhydramine.
Menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM):
Pendaftaran produk ini telah dibatalkan oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) pada mesyuaratnya yang ke-341 pada 5 Disember 2019 berikutan pengesanan racun berjadual tersebut di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.
Diphenhydramine merupakan sejenis antihistamin yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh diperolehi daripada doktor atau ahli farmasi. Diphenhydramine digunakan untuk melegakan reaksi alahan. Kesan sampingan diphenhydramine yang digunakan secara topical termasuk ruam, gatal-gatal serta peningkatan kepekaan terhadap cahaya.
Penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta-merta. Penjualan dan pengedaran produk ini adalah melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.
Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan untuk segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat dari profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan advers.