Waspada Sindiket Penipuan Yang Menggunakan Nama Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM

TULAR:
591

WASPADA:

Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan satu sindiket yang menggunakan nama Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) yang menipu orang ramai kononnya mangsa mempunyai ‘masalah pematuhan cukai’ yang perlu diselesaikan.

Sumber gambar: hasil.gov.my

Menurut kenyataan rasmi Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM):

Sindiket yang menggunakan media sosial sebagai platform komunikasi ini bukan sahaja memaklumkan ‘masalah pematuhan cukai’ yang dihadapi oleh mangsa, malah turut menawarkan khidmat membantu menyelesaikan ‘masalah pematuhan cukai’ tersebut dengan caj tertentu yang perlu dibayar.

Terdapat juga golongan yang tidak bertanggungjawab ini menggunakan nama Ketua Pegawai Eksekutif LHDNM untuk mengugut pembayar cukai dan memaksa mereka untuk menjelaskan ‘amaun cukai yang tertunggak’ kepada LHDNM melalui akaun milik mereka.

Harap maklum bahawa maklumat percukaian setiap pembayar cukai adalah sulit dan dijamin kerahsiaannya menurut Seksyen 138 Akta Cukai Pendapatan 1967. Justeru, Ketua Pegawai Eksekutif dan setiap pegawai LHDNM tidak dibenarkan untuk membincangkan maklumat percukaian setiap pembayar cukai dengan pihak-pihak yang tidak berkenaan.

Di samping itu setiap penyelesaian isu pematuhan cukai dengan LHDNM tidak menggunakan orang tengah selain daripada Ejen Cukai Bertauliah yang dilantik. Manakala pembayaran baki cukai tertunggak pula hendaklah dibuat terus ke akaun Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia atas nama Ketua Pengarah Hasil Dalam Negeri (KPHDN).

Sekiranya orang ramai mempunyai keraguan terhadap sebarang surat, e-mel, mesej atau pun panggilan telefon yang kononnya dari atau mewakili LHDNM, sila dapatkan pengesahan terlebih dahulu dengan menghubungi Hasil Care Line di talian 1-800-88-5436 atau Customer Care Officer (CCO) di setiap cawangan LHDNM.

SUMBER:

Laman Rasmi LHDNM


MAINKAN PERANAN ANDA!
Sekiranya anda mempunyai maklumat mengenai berita tidak ditentusah yang melibatkan kepentingan awam mahupun negara,
Salurkan Kepada Kami

TIDAK PASTI JANGAN KONGSI